HULU SELANGOR – Jumlah keluar mengundi bakal menjadi penentu keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, mana-mana parti yang dapat mengeluarkan lebih banyak pengundi akan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
Menurutnya, PRK Kuala Kubu Baharu adalah persaingan di antara 90 peratus pengundi Cina terhadap Pakatan Harapan (PH) manakala 80 peratus pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN).
“Ada dua sebab kenapa (90 peratus) kerana pengundi Cina memang akan sokong DAP dan kedua adalah tiada alternatif. Waktu ini MCA (dilihat) agak tidak berapa bermaya untuk lawan DAP.
“80 (peratus) pula merupakan jumlah sokongan Melayu kepada PN termasuk di Selangor. Itu ‘establish’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.
“Jadi, siapa dapat keluarkan lebih banyak pengundi akan menang,” katanya pada podcast Keluar Sekejap yang disiarkan di YouTube, hari ini.
Jelas Khairy Jamaluddin, angka 90-80 itu merupakan simbolik kepada situasi politik negara yang akan menjadi rujukan untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU).
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon PH, Pang Sock Tao, calon PN, Khairul Azhari Suat, calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin. – KOSMO! ONLINE