HULU SELANGOR – Kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang dimiliki DAP sejak 2013 disifatkan bukan sebagai satu kelebihan, sebaliknya menganggap calon diketengahkan parti itu mewakili Pakatan Harapan (PH) adalah ‘underdog’.
Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching berpandangan, PH tidak berada dalam kedudukan yang selesa dan akan berjuang dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) sehingga saat akhir.
“Kita faham untuk PRK, kadar mengundi adalah rendah. Jadi, untuk hari keempat kempen ini, saya tidak rasa (PH) berada dalam satu kedudukan yang selesa.
“Meskipun kita telah menang kerusi ini menerusi mendiang Lee Kee Hiong. Kita tak rasa kita ada (kelebihan) sebaliknya kami akan selalu menganggap kita adalah ‘underdog’. Kita akan beri sepenuhnya dalam kempen kerana ini bukan sahaja penting untuk DAP atau PH tetapi juga untuk kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pasar awam Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.
Untuk rekod, PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, Sock Tao dengan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.
Mengulas mengenai serangan Pas berkaitan kelulusan pendidikan sock Tao, Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata, ia hanya membuktikan bahawa pas tidak boleh menerima sekolah vernakular.
“Seperti yang disebut oleh calon (Sock Tao), kita perlu mengamalkan politik baharu dan matang. Saya rasa serangan daripada pemimpin sebelah sana (PN), dalam padangan saya, ia bukan satu pertandingan atas idea.
“Tetapi dia nak serang atas latar belakang pendidikan calon kami apabila Ahli Parlimen Pas sendiri mengakui di Dewan Rakyat beliau menghantar anak mereka pergi ke sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC). Pas juga ada ADUN yang belajar di SJKC. Saya tak tahu kenapa ia boleh menjadi satu isu,” ujarnya.
Pada masa sama, Timbalan Menteri Komunikasi itu turut menyeru kepada semua pengundi yang menetap di luar Kuala Kubu Baharu dapat pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada 11 Mei ini. – KOSMO! ONLINE