PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap kepemimpinan Kerajaan Arab Saudi meliputi hal ehwal umat Islam dan konflik Palestin-Israel.
Jelas Anwar, seluruh negara Arab serta negara-negara Islam, khususnya Arab Saudi perlu senada dan tegas menuntut keadilan buat Palestin dengan memastikan Israel diheret ke muka pengadilan.
“Selain perlindungan dan akses bantuan kemanusiaan, semua pihak juga perlu menyuarakan bantahan terhadap pencerobohan Israel di tanah Palestin, yang menjadi punca utama konflik berpanjangan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial rasmi Perdana Menteri, hari ini.
Beliau berkata demikian menerusi perbincangan bersama Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohamad Salman Abdulaziz Al-Saud di Istana Yamamah, Riyadh.
Ia menjadi penutup lawatan Anwar ke Riyadh bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) sebelum berangkat pulang ke tanah air.
Dalam masa sama beliau berkata, perbincangan itu turut menyentuh hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.
Ujarnya, Malaysia sedia untuk bersama-sama dalam Visi 2030 Arab Saudi dengan meneroka ruang kerjasama baharu, terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen.
“Saya juga alu-alukan kehadiran pelabur-pelabur Arab Saudi ke Malaysia untuk meneroka potensi pelaburan dalam projek bernilai tinggi seperti ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan (AI), tenaga bersih, pertahanan, elektrik dan elektronik serta aeroangkasa.
“Saya juga maklumkan, Malaysia sudah bersedia untuk mempengerusikan ASEAN tahun depan termasuk menganjurkan Sidang ASEAN-GCC-China,” ujarnya.
Selain itu, Anwar turut menyatakan penghargaan berikutan Kerajaan Arab Saudi bermurah hati memperuntukkan 31,600 kuota haji kepada Malaysia, tahun ini.
“Di akhir pertemuan, saya mengulangi jemputan buat Putera Mahkota untuk melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia sesegera mungkin.
“Saya percaya lawatan kali ini telah memperkukuhkan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi di samping membuka pelbagai potensi pelaburan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE