PUTRAJAYA – Seorang penyelenggara stor yang membunuh teman wanitanya dengan menjerut lehernya menggunakan kain tudung terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati terhadapnya dengan penjara 30 tahun.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas membenarkan permohonan semakan Shahrul Nizam Mohd. Shah, 52, selaku pemohon.
Dua lagi panel hakim yang turut bersidang ialah Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Mahkamah turut memerintahkan Shahrul Nizam menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu pada 8 Oktober 2008.
“Hukuman mati diketepikan diganti dengan hukuman penjara 30 tahun mulai tarikh tangkap,” kata Hakim Tengku Maimun.
Terdahulu, peguam R.Subash yang mewakili Shahrul Nizam memohon anak guamnya menjalani hukuman penjara 30 tahun kerana pemohon sudah ditahan di penjara selama 16 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi kemudian tidak membantah berhubung permohonan tersebut.
Pada 22 Mac 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Shahrul Nizam bersalah kerana membunuh teman wanitanya itu setelah mendapati mangsa akan berkahwin dengan lelaki lain.
Shahrul Nizam, didakwa melakukan kesalahan itu di rumah sewanya di Kampung Gombak, Kuang, Rawang, antara pukul 9 dan 10 pagi pada 7 Oktober 2008.
Namun pada 9 Mei 2012, rayuan Shahrul Nizam ditolak Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2015.
Semasa membela diri, Shahrul Nizam memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia dan bekas kerani itu pada mulanya bercadang membunuh diri dengan meminum racun “seperti Romeo dan Juliet”, dan mendakwa mangsa memaksanya meminum racun terlebih dahulu dan akibatnya, dia pengsan.
Shahrul Nizam berkata apabila sedar kembali, dia mendapati Nurul Hazira sudah tidak bernyawa dan dia pun segera berlari ke rumah jiran untuk meminta pertolongan.
Shahrul Nizam mendakwa mangsa memberitahunya bahawa dia tidak mencintai lelaki yang meminangnya dan oleh itu meminta perayu menjadikannya sebagai isteri.
Bagaimanpun, dia meminta teman wanitanya itu bersabar kerana ketika itu dia tidak mempunyai wang.
Bagaimanapun laporan bedah siasat mendapati Nurul Hazira meninggal dunia akibat cekikan dan tiada racun ditemukan di dalam tubuhnya. – KOSMO! ONLINE