PETALING JAYA – Rata-rata penjawat awam tidak sabar menantikan pengumuman daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok yang diharapkan akan memberi sinar baharu buat seluruh kakitangan kerajaan itu.
Sebelum ini, Anwar dalam hantaran di Facebooknya berkata, cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan diumumkan beliau pada perhimpunan Hari Pekerja.
Tinjauan Kosmo! di platform media sosial hari ini mendapati, ramai yang meluahkan rasa teruja dan berharap berita baik pertama yang bakal diumumkan Anwar adalah mengenai kenaikan gaji agar dapat membantu meringankan bebanan kos kehidupan mereka.
Selain itu, ramai juga dikalangan penjawat awam menantikan pemberian elaun tambahan khusus kepada mereka yang bekerja di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Katanya, perbelanjaan di bandar dua hingga tiga kali ganda berbanding kos kehidupan kawasan pedalaman.
“Harap gaji naik, harap juga elaun khas sara hidup untuk penjawat awam di bandar terutama KL (Kuala Lumpur), hadap jem jalan setiap hari kos minyak petrol dah tinggi, tambah pula kos bayar tol berulang ke tempat kerja. Harga barang basah, makanan di bandar juga jauh beza mahalnya dari kawasan luar bandar.
“Rasanya secara logik dan ihsan pihak kerajaan, harapnya ada sinar untuk kami yang bekerja di bandar ketika ini,” luah Zainuddin dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Sementara itu, pengguna laman X, Adriana Myles berharap pengumuman daripada Anwar esok adalah satu usaha baharu kerajaan dalam memperkasakan lagi kebajikan penjawat awam di negara ini.
Pada masa sama, kakitangan swasta juga meluahkan harapan agar kebajikan mereka mendapat perhatian Kerajaan Perpaduan disebabkan turut terkesan dengan kos sara hidup ketika ini.
“Sempena Hari Pekerja esok, harapnya pimpinan Kerajaan Perpaduan cakna kebajikan golongan pekerja swasta. Masih ramai golongan kami berdepan dengan gaji yang rendah di bawah RM2,000. Sememangnya ia tidak cukup untuk menampung keperluan pada zaman ini,” antara luahan dalam kalangan pekerja swasta. – KOSMO! ONLINE