JEREZ – Pelumba Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia tanpa berselindung mengakui bahawa terpaksa menggunakan pendekatan lebih agresif untuk mengatasi pelumba Gresini Racing, Marc Marquez yang cukup pantas di Grand Prix (GP) Sepanyol kelmarin.
Pada perlumbaan tersebut, Bagnaia yang memulakan perlumbaan di petak ketujuh berjaya mengawal saingan itu dengan baik sebelum berjaya berada di kelompok dan bersaing hebat dengan Jorge Martin.
Bagaimanapun, segalanya berubah apabila Martin terjatuh dan membuka ruang kepada Bagnaia serta Marquez yang bersaing sengit untuk mencipta kemenangan pertama mereka musim ini.
Perebutan memburu kemenangan di Sepanyol antara Pecco dan Marquez bertambah sengit hingga berlaku pelanggaran di penghujung saingan, namun Bagnaia menggunakan segala ruang untuk memastikan dia melakar kemenangan ketiga berturut-turut di Litar Antarabangsa Jerez.
“Apabila bersaing dengan Marc (Marquez) anda perlu mengangkat sedikit siku anda ke atas, kerana pertarungan itu benar-benar sengit. Secara jujur, satu-satunya tempat di mana saya dapat bertahan adalah di selekoh 9.
“Marc sangat kuat di selekoh 7, 8 dan dia berjaya merapatkan jurang dengan saya. Jadi, saya mengambil risiko di selekoh 9 untuk mendapat sedikit kelebihan. Pasti ada sedikit sentuhan, tetapi kami bersaing dengan sangat baik,” ujarnya.
Pada perlumbaan tersebut, Marquez terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala Marco Bezzecchi yang mewakili pasukan VR46 melengkapkan kedudukan podium.
Selepas mengharungi empat perlumbaan GP, pelumba Pramac, Jorge Martin yang gagal menamatkan perlumbaan kekal mendahului carta dengan 92 mata disusuli dengan Pecco (75 mata) dan tempat ketiga diraih oleh Enea Bastianini (70 mata). – AGENSI