fbpx

Kerja pindah 90 kubur untuk ECRL ditangguh seminggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang waris menangis apabila kubur ahli keluarga mereka di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang akan dipindahkan bagi pembinaan ECRL. -Foto SADDAM YUSOFF/KOSMO!

SHAH ALAM – Kerja-kerja penggalian dan pemindahan 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang dekat sini bagi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka esok ditangguhkan seminggu lagi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah ini bagi memberikan ruang bagi proses pemakluman dan pendengaran kepada 45 lagi waris kubur tersebut.

“Tadi, kita bincang di sana (Tanah Perkuburan Selat Klang), kita delay (tangguh) lagi seminggu dalam berikan ruang kepada 45 lagi keluarga yang belum datang dalam proses pemakluman sebelum ini.

“Proses ini penting bagi kita menguruskan bantahan dan sebagainya terhadap perubahan di tempat tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan luluh hati 90 waris apabila mendakwa tapak kubur ahli keluarga mereka akan digali dan hanya diberikan batu nisan sahaja sepanjang pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tanah Perkuburan Selat Klang di sini.

Lebih menambahkan kekecewaan, mereka tidak dibenar menghadiri proses pengalian dan pemindahan kubur yang dijangka akan dilakukan esok dengan rata-rata jasad kurang daripada dua tahun.

Amirudin memberitahu, ECRL memerlukan satu laluan yang lurus dengan sedikit pengubahsuaian aliran kecil sahaja akan menyebabkan perubahan yang besar.

“Seperti mana sedia maklum, ECRL ini memerlukan satu laluan yang lurus dan tidak bengkang bengkok.

“Sebab itu kita seboleh mungkin mengekalkan (laluan sedia ada yang telah dirancang),” katanya.

Ketika ditanya sama ada telah merujuk kepada Pejabat Mufti Selangor kerana melibatkan jasad bagi kubur-kubur tersebut, Amirudin merasakan ia bukan melibatkan proses hukum sebaliknya proses memberitahu dan memaklum balas kepada waris.

“Dari segi hukum, tiada masalah kerana sudah ada mufti dan aturannya bagi mana menukar (memindahkan kubur-kubur terlibat). Cuma isunya mungkin kena beri penerangan kepada wakil waris yang terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali dalam kenyataannya memaklumkan, beliau menyedari bahawa projek ECRL ini cukup baik dan berguna kepada rakyat dan negeri dengan saya secara peribadi menyokongnya.

Namun demikian, ujarnya, apabila kepentingan dan kebajikan rakyat terjejas akibat perlaksanaan projek ini, perundingan secara holistik sewajarnya diadakan agar semua pihak termasuklah rakyat negeri Selangor yang terjejas akan berpuas-hati.

“Bagi umat Islam proses peralihan tanah perkuburan ini adalah isu yang sangat sensitif dan boleh mencetuskan ketegangan jika tidak ditangani secara matang dan bijaksana.

“Saya sedar ia diharuskan mengikut syarak kerana menjaga kepentingan umum. Walau bagaimanpun biarlah projek kepentingan umum ini diteliti sebaik mungkin dengan keputusan peralihannya menjadi keutamaan terakhir jika sudah benar-benar buntu dan tiada alternatif.

“Juga, semua waris perlulah diberitahu dan diberi penerangan sewajarnya sebelum kubur keluarga mereka dialih. Ini perikemanusiaan asas yang sewajibnya dipraktik pihak kerajaan,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI