JAKARTA – Seorang kanak-kanak perempuan terperangkap di dalam mesin basuh dobi layan diri dalam kejadian di Kota Makassar, wilayah Sulawesi Selatan, lapor laman Tribun News hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Shofiyyah Alias dan berumur empat tahun.
Keluarga Shofiyyah menghubungi Pasukan Bomba dan Penyelamat Makassar bagi mengeluarkan kanak-kanak tersebut, manakala mangsa berjaya dikeluarkan tanpa sebarang kecederaan.
Komander bomba tempatan, Muchlis berkata, kronologi bermula ketika kanak-kanak itu bermain di sekitar mesin basuh.
“Disebabkan mesin itu seperti bergoyang, dia fikir mungkin buaian dan akhirnya masuk ke dalam lubang mesin basuh,” jelas Muchlis kepada Kompas.com.
Kata Muchlis, keadaan mesin basuh itu telah rosak semasa misi menyelamat yang melibatkan sembilan anggota bomba.
Anggota-anggota bomba berhati-hati semasa cuba mengeluarkan mangsa kerana bimbang sesuatu tidak diingini mungkin berlaku. Usaha menyelamat mangsa mengambil masa sekitar tujuh minit. – Agensi