PETALING JAYA – Kad MySiswa bukan sahaja pengganti dokumen diri untuk para pelajar universiti awam (UA), malah memberi pelbagai manfaat lain termasuklah fungsi utamanya sebagai kad matrik pelajar dan kad debit bank.
Bahkan, sejak kad pintar pelbagai guna ini dilaksanakan di 20 UA seluruh negara pada Mac tahun lalu, pelajar tidak perlu bergantung kepada kad matrik semata-mata untuk mengakses kemudahan atau fungsi dalaman kampus.
Pelajar Universiti Malaya (UM), Muhammad Adam Fareez Sazwan Reezal, 22, yang sedang menuntut di tahun ketiga berkata, inisiatif kad itu memberi kemudahan kepadanya sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan untuk akses ke makmal atau hospital.
Jelasnya, kad tersebut adalah inisiatif terbaik kerajaan yang menggabungkan semua kemudahan di bawah satu ‘pusat sehenti’ bagi meringankan beban pelajar.
“Risiko untuk tercicir kad pun berkurangan sebab tidak perlu bawa banyak kad. Bukan itu sahaja, disebabkan fungsinya sebagai kad debit, ia melancarkan urusan saya ketika program pertukaran pelajar ke Singapura akhir tahun lalu.
“Semua urusan pembayaran pengangkutan di sana yang menggunakan Transit Aliran Massa (MRT) boleh dibuat menggunakan Kad MySiswa.
“Kemudian saya hanya perlu semak baki akaun menggunakan aplikasi RHB Islamic Bank Berhad untuk mengetahui perbelanjaan semasa,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Berpandangan sama, Qasdina Balqis Faris, 22, juga pelajar UM yang sedang menuntut di tahun ketiga berkata, inisiatif kad itu memberi penjimatan kerana menawarkan pelbagai promosi atau diskaun untuk makanan dan barangan keperluan harian.
Qasdina yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Farmasi berkata, Kad MySiswa itu memberi manfaat ketika dia berkunjung ke taman tema air bersama keluarga kerana dapat menikmati potongan harga selepas mempamerkan kad tersebut.
“Disebabkan ia berfungsi sebagai kad debit, memang saya akan bawa ke mana-mana.
“Saya gunakan kad itu untuk membeli makanan, barangan atau pergi ke tempat-tempat pelancongan dan secara automatik dapat harga pelajar. Memang sangat menjimatkan untuk pelajar macam saya.
“Selain itu, sejak inisiatif ini diperkenalkan, ia turut digunakan untuk menyalurkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Akaun Simpanan-i RHB Pro.
“Jadi saya tidak perlu bersusah-payah memindahkan duit dari satu akaun ke akaun yang lain. Saya cuma perlu semak baki dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir melancarkan secara rasmi inisiatif yang dulunya dikenali sebagai Kad Prihatin Siswa pada 23 Mac lalu.
Cetusan idea Kad MySiswa ini telah diusulkan sendiri oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada tahun 2020 lalu dan Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) telah menyambut hasrat tersebut sebagai refleksi yang memahami denyut nadi golongan mahasiswa.
Sementara itu, inisiatif ini juga disambut baik oleh Megat Muhammad Daniel Azlinzal, 21, yang merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Analitik Data) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kerana menyifatkan ia selari dengan peredaran zaman.
“Kelebihan dan fungsi Kad MySiswa yang digemari mahasiswa dan mahasiswi di UMT adalah penawaran promosi istimewa, potongan harga dan rebat daripada kedai-kedai terpilih.
“Kad ini juga membantu universiti ke arah ‘cashless campus’ seiring dengan perubahan gaya hidup pelajar.
“Ini merupakan satu inovasi baharu berbanding bantuan lain yang diberikan kepada pelajar UA sebelum ini.
“Saya berharap jaringan kedai atau syarikat terlibat diperluaskan lagi untuk pelajar mendapatkan diskaun, rebat dan promosi,” katanya.
Sementara itu, Syahril Ahmad Sofian, penuntut Ijazah Sarjana Muda Undang Undang di Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berpendapat, fungsi yang paling digemarinya pada kad tersebut adalah potongan diskaun pelajar secara automatik semasa transaksi, yang mana ia selaras dengan tuntutan digital pada masa kini.
“Saya lihat Kad MySiswa ini adalah sebagai one tool for everything. Inisiatif ini adalah usaha yang ditunggu-tunggu untuk membantu pelajar.
“Pandangan saya agar kad yang berfungsi sebagai kad ATM ini boleh ditambah baik untuk turut menyokong kemudahan simpanan, pelaburan dan sebagainya,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengkomputeran dan Pengurusan Perniagaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Azeem Hareez Hanif, 26, menzahirkan harapannya agar inisiatif tersebut dapat diperluaskan kepada pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).
Ujarnya, selain memberi peluang untuk menyeragamkan maklumat data pelajar, kemudahan itu juga boleh memastikan tiada keciciran bantuan dalam kalangan pelajar.
“Jika inisiatif ini diperluaskan ke IPTS, sebarang bantuan pendidikan boleh terus disalurkan ke dalam kad MySiswa.
“Tidak perlu guna pelbagai kaedah untuk sampaikan bantuan. Melalui kad ini tidak akan berlaku keciciran bantuan khususnya melibatkan pelajar kurang berkemampuan,” katanya.