PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kekal bersikap ‘anak jantan’ sekiranya ada mana-mana individu mahu bertanding bagi merebut jawatan tertinggi pentadbiran badan induk berkenaan.
Hamidin menjelaskan perlembagaan FAM tidak menghalang mana-mana pihak yang mahu bertanding dan beliau juga akan terus bersikap terbuka kerana percaya objektif utama setiap individu dalam badan induk itu pastinya menjurus kepada kebaikan bola sepak negara.
“Saya rasa itu pandangan beliau (Khairy Jamaluddin Abu Bakar), apa pun kita tidak boleh lari (daripada) statut atau perlembagaan. Sesiapa pun boleh bertanding, tidak ada masalah.
“Saya terbuka dan saya ingat FAM pun terbuka kalau ada sesiapa nak bertanding dalam apa juga posisi. Tidak ada (berkecil hati), saya adalah orang berfikiran terbuka, saya terima kritikan daripada netizen.
“Kita kena terimalah yang penting kita tidak buat salah dan buat demi bola sepak negara. Sampai masanya kalau ada pemilihan kita akan sama-sama berada dalam pemilihan ikut statut FAM,” katanya.
Khairy yang juga bekas Timbalan Presiden FAM sebelum ini merasakan sudah tiba masanya perubahan dibuat dalam pentadbiran badan induk itu dan berpendirian individu korporat sebagai calon sesuai.
Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli juga seakan senada dengan Khairy dan merasakan FAM perlukan tokoh korporat selaku pemimpin untuk mengembangkan lagi daya saing di peringkat tertinggi memandangkan bola sepak adalah sukan yang memerlukan dana besar.
Ketika ditanya mengenai isu surat layang yang tular sebelum ini, Hamidin enggan mengulas lanjut dan mahu pihak berkuasa menjalankan tugas mereka terlebih dulu.