NOTTINGHAM – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memberi amaran kepada barisan pemainnya supaya tidak tercicir mata dalam baki empat perlawanan sekiranya mahu mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
The Citizens meredakan sedikit tekanan dihadapi ketika ini apabila mencatat kemenangan penting 2-0 ke atas Nottingham Forest pada perlawanan yang berlangsung di City Ground malam kelmarin.
Kemenangan itu memastikan City terus mengekori rapat pendahulu, Arsenal dengan ketinggalan satu mata, namun kelebihan masih menjadi milik skuad bimbingan Guardiola itu apabila beraksi kurang satu perlawanan.
“Kami mengharapkan mereka (Arsenal) kalah, tetapi kami tidak boleh kawal perkara seperti itu. Saya tahu mereka tidak akan tercicir mata selepas ini, jadi kami juga pasti melakukan perkara yang sama.
“Perlawanan hari ini (kelmarin) sangat sukar, tetapi kami bermain lebih baik berbanding musim lalu. Kami juga bernasib baik kerana mereka gagal memanfaatkan beberapa peluang ekoran keadaan padang yang kurang memuaskan,” katanya.
Pada perlawanan itu, City membuka tirai jaringan menerusi pemain pertahanan, Josko Gvardiol di minit ke-32 sebelum penyerang, Erling Haaland melengkapkan kemenangan di separuh masa kedua.
“Pemain sedikit bergelut tetapi masih menampilkan aksi terbaik, terutamanya di separuh masa kedua. Saya juga perlu akui bahawa mereka kadang-kadang bermain lebih baik berbanding kami,” ujar Guardiola. – AGENSI