PUTRAJAYA – Dua bekas anggota polis terselamat daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan mereka dipenjara maksimum 40 tahun atas kesalahan membunuh seorang mekanik warganegara Indonesia yang ditemukan maut dengan tiga kesan tembakan di kepala 18 tahun lalu.
Mangsa Yusrizal Yusof, 38, yang didakwa menjalin hubungan sulit dengan isteri orang, ditumbuk bertubi-tubi ketika dalam tahanan polis sehingga berlumuran darah sebelum dibawa ke Ladang Caledonia, Batu Arang, dekat sini dan ditembak di kepala dalam keadaan melutut dan bergari.
Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat memerintahkan bekas Koperal Ailias Yahaya, 70, dan bekas Lans Koperal Saiful Azlan Shah Abdullah, 60, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 22 Januari 2006.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera secara sebulat suara mengantikan hukuman mati setelah membenarkan permohonan semakan kedua-dua bekas anggota polis itu.
Ailias hadir ke mahkamah dalam keadaan berkerusi roda dan Saiful Azlan dilihat mendengar dengan teliti prosiding semakan itu.
Pemohon-pemohon disabitkan membunuh Yusrizal di Ladang Caledonia, Kilometer 22, Jalan Kuala Lumpur – Kuala Selangor, Batu Arang, dekat sini, antara pukul 10 dan 11 malam, 13 Januari 2006.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi membantah permohonan semakan kedua-dua lelaki itu atas alasan kes tersebut disifatkan sebagai ‘kes yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ (rarest of the rare).
Keterangan kes menyatakan, Yusrizal pada mulanya ditangkap ekoran laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki (saksi pendakwaan ke-20) bahawa mangsa menjalin hubungan sulit dengan isterinya.
Pemohon-pemohon kemudian menahannya di bilik mesyuarat Balai Polis Sungai Pelong sebelum membenarkan SP20 dan seorang lelaki lain (SP33) memukulnya untuk melepaskan geram.
Kedua-duanya bersama SP33 selanjutnya membawa Yusrizal ke Ladang Caledonia dengan sebuah kereta dalam keadaan bergari.
“Tiba di ladang itu, Saiful Azlan mengarahkan si mati keluar dari kereta dan menyuruhnya melutut sebelum melepaskan tembakan dari arah belakang ke arah kepala si mati sebanyak tiga kali. Ketika itu Ailias berada di depan si mati.
“Pemohon sebagai anggota polis menyalahgunakan kuasa mereka dan mengambil undang-undang di dalam tangan mereka sendiri. Si mati pada setiap masa, dari awal tangkapan sehingga kematiannya, berada dalam kawalan penuh pemohon,” ujar Tetralina.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Fadhli Sutris yang mewakili kedua-dua pemohon memohon mahkamah mempertimbangkan faktor kesihatan anak guam selepas dipenjarakan selama 18 tahun.
Hujahnya, Ailias yang berkerusi roda mempunyai penyakit kronik manakala Saiful Azlan pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak dua kali.
Menurut peguam, Ailias berkhidmat dalam pasukan polis pada 1976 manakala Saiful Azlan pada 1982 serta pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. – KOSMO! ONLINE