SKUAD badminton lelaki negara wajib menewaskan Denmark pada aksi terakhir Kumpulan D hari ini sekiranya mahu melangkah ke pusingan kalah mati Piala Thomas 2024 sebagai juara kumpulan.
Layak sebagai juara kumpulan sangat penting bagi memastikan pasukan negara mendapat undian lebih mudah di suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 2 dan 3 Mei nanti.
Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia berkata, Malaysia akan turun sebagai ‘underdog’ selain percaya pasukan kebangsaan memiliki kelebihan dalam acara beregu berbanding wakil Eropah tersebut.
“Menjelang aksi bertemu Denmark nanti, jujur saya katakan kita ada kelebihan menerusi beregu kerana (Goh) Sze Fei-Nur Izzuddin (Rumsani) bermain sangat bagus, begitu juga Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang sentiasa konsisten.
“Bagaimanapun, pemain-pemain perseorangan juga perlu berusaha kerana kita dapat lihat Leong (Jun Hao) kejutkan Ng Ka Long pada Sabtu lalu dan Justin (Hoh) juga bermain cukup baik,” kata bekas juara All England itu.
Malaysia memastikan kemaraan ke suku akhir selepas mencatat kemenangan dalam dua perlawanan awal menerusi keputusan 5-0 ketika menewaskan Hong Kong dan Algeria.
Dalam pada itu, Zii Jia menjelaskan, dia tetap berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan perseorangan utama Denmark, Viktor Axelsen biarpun bekas juara dunia berkenaan berdepan aksi tidak menentu musim ini.
“Walaupun dia agak bergelut pada saingan musim ini, tetapi standard permainannya tidak turun terlalu banyak, jadi memang perlu berada dalam kondisi terbaik sekiranya mahu menang ke atas Axelsen.
“Kita juga tahu dia seorang pemain yang sangat berpengalaman kerana pernah menjadi juara dunia selain memenangi Olimpik dan Piala Thomas. Saya tetap akan buat persiapan terbaik,” ujarnya.
Sebagai rekod, Malaysia sudah menanti selama 32 tahun untuk menamatkan kemarau kejuaraan dalam saingan Piala Thomas selepas kali terakhir mendakap trofi teragung itu pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.