KUALA LUMPUR – Enggan peduli kontroversi nafi rapat dengan kekasih Aliff Aziz, pelakon Meerqeen lebih selesa menumpukan perhatian terhadap kerjaya seninya.
Meerqeen atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam berkata filem terbaharu, Harimau Malaya: The Untold Journey yang akan menjengah pawagam pada 27 Jun depan membuatkan kesibukannya berganda.
“Saya tiada apa yang mahu dikatakan ketika ini kerana semua yang datang ke sini adalah untuk filem terbaharu saya, Harimau Malaya.
“Saya pun mahu fokus pada kerja, lebih-lebih lagi filem baharu nak keluar dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di majlis pra-pelancaran filem Harimau Malaya dan Terkutuk, hari ini.
Ditanya sama ada kontroversi yang dicetuskan wanita bernama Sarah Yasmine itu memberi impak terhadap dirinya, akui aktor terbabit yang kini menjalani penggambaran drama Cinta Untuk Sekali Lagi hanya fikir kerja.
“Tiada komen mengenai ini, anda pun boleh nampak saya makan dengan gembira.
“Sejujurnya saya tidak mengikuti perkara yang sedang berlaku sekarang sebab sibuk menjalani penggambaran drama yang agak ‘tegang’.
“Jadi sekarang saya cuma mahu fokus terhadap kerja saya dan juga diri saya. Itu saja,” ujarnya.
Tambah Meerqeen, sepanjang tempoh ini dia juga tiada masa membaca komen dalam media sosial.
“Saya tiada masa untuk sesiapa walaupun saya pun keluarga saya pun dalam tiga atau empat jam sahaja. Keluarga saya tahu saya macam mana.
“Dalam industri ini saya hanya menjalankan kerja saya sebagai pelakon, saya tak tahu apa yang orang katakan sekarang ini tapi saya tahu apa yang saya lakukan kerana paling penting adalah kerja dan keluarga ,” katanya.
Ketika ditemu bual, Meerqeen menyatakan Sarah hanya peminat, bagaimanapun Sarah menidakkan perkara itu selain mendakwa mereka pernah menjalinkan hubungan sekitar Ogos dan September tahun lalu.
Berkongsi lanjut mengenai Harimau Malaya arahan Datuk Afdlin Shauki yang mengangkat kisah pasukan bola sepak kebangsaan itu, Meerqeen berkata dia seronok dapat bekerja di bawah pengarahan sutradara tersebut.
“Ini adalah satu pengalaman yang menakjubkan. Saya seronok bekerja dengannya dan mengharapkan peminat dapat menerima lakonan saya dengan baik,” katanya.
Filem Harimau Malaya: The Untold Journey mengisahkan kebangkitan semula Harimau Malaya selepas kemerosotan yang membawa kepada peletakan jawatan jurulatih Tan Cheng Hoe pada Januari 2022.
Naskhah ni turut membariskan Sophia Albarakbah, Aidil Aziz, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Zain Hamid, Vanidah Imran, Erra Fazira, Amelia Henderson, Nam Ron, Bell Ngasri dan Douglas Lim. – KOSMO! ONLINE