fbpx

Siti Hajar introvert, tapi sedia bersuara tentang isu semasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI HAJAR menggunakan Parlimen Belia sebagai platform bagi menyuara pendapat.

KEBANYAKAN mahasiswa yang mengetuai organisasi atau program di kampus merupakan individu petah berkata-kata.

Berbeza pula kisahnya dengan Siti Hajar Badzlin Ghazali yang sering dianggap sebagai seorang pendiam oleh rakan-rakannya.

Namun begitu, gadis berusia 23 tahun itu banyak menyertai dan mengetuai program yang dianjurkan di peringkat sekolah serta universiti.

“Memang ramai yang menganggap saya seorang yang pendiam atau ‘introvert’.

“Saya sebenarnya lebih gemar bersuara apabila perlu terutamanya apabila menyuarakan pendapat yang mampu memberikan impak kepada pemegang taruh di sekeliling,” katanya.

Gadis yang mesra disapa Siti Hajar itu merupakan mahasiswa tahun akhir jurusan sains bioperubatan di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM).

Dia yang merupakan anak kelahiran Putrajaya bukan sahaja aktif di kampus, malah turut memberi khidmat kepada masyarakat dengan menjadi Ahli Parlimen Belia (APB) mewakili kawasan Putrajaya.

Menurutnya, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menawarkan diri menjadi APB.

“Namun, setelah melihat potensi untuk menyumbang kepada komuniti menerusi platform ini, saya tidak menoleh ke belakang lagi.

“Tambahan pula, platform yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan ini mampu melatih anak-anak mengetengahkan idea dan solusi kepada isu-isu setempat serta nasional.

“Ia juga secara tidak langsung menjadi pemudah cara kepada golongan muda menyertai komuniti setempat yang berbeza dari segi latar demografi, pemikiran dan tradisi berbanding warga kampus,” jelasnya.

Berpegang teguh dengan ungkapan, ‘negara adalah cerminan rakyatnya’, Siti Hajar mendedikasikan usaha serta tenaganya di Parlimen Belia untuk mengintegrasi dan mensinergikan usaha-usaha strategik di institusi pendidikan supaya dapat direalisasikan dalam komuniti.

SITI HAJAR (kanan) seorang yang aktif dalam organisasi dan program di UM.

Padanya, tiada platform lain yang benar-benar mampu memberikan peluang kepada anak muda untuk memberikan impak kepada masyarakat secara langsung.

Berbekalkan pengalamannya mendekati komuniti setempat dan komitmen membawa isu-isu semasa, Siti Hajar juga menawarkan diri menjadi ahli pasukan sukarelawan Generational End Game (GEG) di UM.

“Sebagaimana yang kita tahu, GEG ialah sebuah gerakan yang cuba menyelamatkan generasi akan datang daripada bahaya rokok dan vape.

“Kami melobi supaya satu undang-undang diwujudkan bagi menghalang penjualan produk-produk itu kepada mereka yang lahir selepas tahun 2007.

“Walaupun undang-undang tersebut sudah pun dibentang dan diluluskan tanpa klausa khusus, namun kami tetap meneruskan aktiviti berkongsi bahaya ketagihan rokok dan vape kepada murid-murid sekolah di Lembah Klang.

“Program sukarelawan GEG ini dilaksanakan di bawah Pusat Jalinan Masyarakat UM dan diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin.

“Beliau sangat lantang menyuarakan keresahannya terhadap bahaya produk-produk ini.

“Saya juga sangat bangga kerana menjadi sebahagian daripada gerakan yang menyumbang secara langsung kepada kesedaran masyarakat mengenai isu semasa ini,” ujarnya.

Selain mendepani isu-isu semasa, Siti Hajar juga cenderung untuk membina keterampilan diri sebagai seorang mahasiswa dan bakal graduan yang akan menjadi sebahagian daripada masyarakat kelak.

Dia percaya, kemahiran kepimpinan merupakan salah satu aset yang perlu ada dalam diri setiap mahasiswa.

“Kemahiran ini bukan hanya perlu ada pada mereka yang beraspirasi memegang jawatan, malah semua mahasiswa.

“Ini kerana, ilmu berkenaan merupakan sebahagian proses pembangunan diri.

“Disebabkan itu, saya menawarkan diri berkhidmat sebagai pasukan Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK) Kolej Kediaman Ibnu Sina untuk sesi 2023/2024,” katanya.

Tambahnya, dia dilantik sebagai Setiausaha JTK dan bertanggungjawab memastikan kelancaran perjalanan semua aktiviti dirancang kolej kediaman.

Kolej Kediaman Ibnu Sina UM merupakan asrama penginapan mahasiswa jurusan klinikal meliputi kursus perubatan, pergigian, farmasi, sains bioperubatan dan kejururawatan.

Disebabkan demografi mahasiswa di situ, Siti Hajar sebagai ahli JTK perlu memastikan aktiviti dan program yang dirancang memenuhi aspirasi serta keperluan pembangunan insaniah para penghuni kolej berkenaan.

Terbaharu, dia dan 17 orang ahli JTK telah berkampung selama tiga hari dua malam di Cherating, Pahang bagi menjayakan sebuah program bina semangat berpasukan.

“Paling menarik pada program tersebut, kami diminta mencari lokan di celah-celah lumpur hutan paya bakau di muara Sungai Cherating.

“Mungkin kedengaran agak janggal, namun aktiviti yang menyebabkan kami bermain lumpur sehingga paras lutut itu menjanjikan pelbagai pengajaran.

“Aktiviti berkenaan telah mengajar kami erti bantu-membantu dan kepentingan memahami objektif dalam melaksanakan sesuatu tugas,” katanya yang turut fasih berbahasa Mandarin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI