BACHOK – Seorang pesakit jantung terpaksa merangkak menyelamatkan diri selepas terjatuh ketika meredah api ekoran rumahnya terbakar dalam kejadian di Simpang Empat Beris Kubor Besar, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, rumah milik Azlizu Abd. Ghani, 54, merupakan salah sebuah daripada lima unit kedai yang hangus dijilat api.
Menurut Azlizu, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar beberapa kali letupan kecil yang berlaku berhampiran rumahnya.
“Saya nampak api membakar dinding rumah. Saya terus capai telefon bimbit, namun semua dokumen termasuk wang tunai tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Azlizu yang baru empat bulan menjalani pembedahan jantung berkata, dia yang tinggal di rumah itu sejak 27 tahun lalu mengesyaki kebakaran berlaku dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Ahmad Ridhuan Mohd. Ghazali berkata, kebakaran melibatkan rumah kedai berkeluasan 54 meter setiap unit yang terbakar 80 peratus. Punca kebakaran dan kerugian mangsa masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE