KUALA LUMPUR – Hasrat Malaysia untuk melakar kejutan ke atas Thailand pada aksi Kumpulan B saingan Piala Uber 2024 gagal ditunaikan apabila terpaksa akur dengan kekalahan 0-5 di Pusat Sukan Hi-Tech Zone, Chengdu, China sebentar tadi.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Malaysia gagal melangkah ke pusingan kalah mati selepas turut mengalami kekalahan 1-4 kepada Taiwan dalam aksi sulung yang berlangsung semalam.
Pada perlawanan sebentar tadi, Thailand memastikan mata pertama menerusi perseorangan wanita No.16 dunia, Supanida Katethong yang mudah menewaskan K. Letshanaa 21-17, 21-6 dalam tempoh 31 minit.
Kemudian, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang turun sebagai beregu pertama berusaha sedaya upaya untuk menyamakan kedudukan, namun dikecewakan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dengan kekalahan 10-21, 14-21.
Malaysia terus ketinggalan 0-3 apabila perseorangan kedua, Wong Ling Ching turut mengalami kekalahan apabila akur tewas 11-21, 15-21 kepada Pornpawee Chochuwong dalam tempoh 35 minit.
Thailand terus menambah derita Malaysia apabila mengutip mata keempat menerusi gandingan Laksika Kanlaha-Phataimas Muenwong yang menewaskan Chan Wen Tse-Tan Zhing Yi 21-12, 21-8.
Sementara itu, Siti Nurshuhaini Azman yang turun beraksi buat kali pertama sebagai perseorangan ketiga pada Piala Uber kali ini turut berdepan nasib sama apabila tewas 5-21, 8-21 kepada pemain No.20 dunia, Busanan Ongbamrungphan.
Meskipun sudah tersingkir daripada saingan, namun pasukan negara akan turun pada aksi pelengkap jadual menentang Australia yang dijadualkan berlangsung Rabu ini. – KOSMO! ONLINE