fbpx

Pelabur bernilai tinggi bakal pilih Malaysia – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kanan) ketika menyertai mesyuarat meja bulat delegasi Malaysia bersama lebih 50 pemimpin industri pelbagai sektor dari seluruh dunia di Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi. - Foto FACEBOOK ANWAR

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lebih banyak pelabur bernilai tinggi akan memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mengikut jejak langkah syarikat-syarikat gergasi seperti Tesla, AWS, Infineon dan Nvidia.

Perdana Menteri itu melahirkan keyakinannya selepas menyertai mesyuarat meja bulat delegasi Malaysia bersama lebih 50 pemimpin industri pelbagai sektor dari seluruh dunia di Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi.

“Ruang ini dimanfaatkan untuk memaparkan keutamaan, inisiatif strategik serta kadar pertumbuhan ekonomi dan fiskal negara, selain kewujudan peluang perdagangan dan pelaburan.

“Sesi ini penting untuk saya dan rakan-rakan meyakinkan pemimpin industri untuk melabur di Malaysia, sekali gus melonjak pertumbuhan ekonomi negara serta mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi buat rakyat Malaysia.

“Ramai pemimpin industri dan perniagaan yang hadir menunjukkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negara dengan menyatakan minat untuk melabur di Malaysia dalam pelbagai bidang.

“Saya beri jaminan urusan pelaburan mereka akan dipermudah dan disegerakan, terutama selepas kerajaan berjaya menangani isu kerenah birokrasi yang berlanjutan sekian lama sebelum ini,” kata beliau dalam hantaran di akaun media sosial rasminya, hari ini.

Turut menyertai Perdana Menteri dalam mesyuarat itu ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Antara syarikat yang menyertai sesi itu termasuk Samsung, Chevron, BrainBox AI, Cisco Systems, OmniBot.ai, TotalEnergies, Lulu Group International, Deutsche Bank dan Saudi Industrial Development Fund.

Terdahulu, Perdana Menteri kini berada di Riyadh dalam rangka lawatan tiga hari bagi menghadiri Mesyuarat Khas WEF yang berlangsung selama dua hari bertemakan ‘Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan.’ – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI