PETALING JAYA – Suami kepada pelakon Nora Danish, Nedim meluahkan rasa kurang senang apabila nama isterinya tiba-tiba ‘dipetik’ dalam isu kontroversi membabitkan aktor sensasi, Aliff Aziz.
Enggan cinta hatinya terseret kontroversi murahan, Nedim atau nama sebenarnya Mohamad Nedim Nazri, 41, memberi amaran kepada semua pihak agar tidak melibatkan teman hidupnya itu dalam kes tersebut.
“Saya harap semua sihat, lama saya tidak bersuara. Rasanya sebelum ini macam tiada apa-apa.
“Cuma saya nak tanya hebat betul Aliff Aziz ini sampai nama isteri saya pun terpalit?
“Bagi saya saudari jangan petik nama isteri saya dengan senang. Kalau tak bersalah baik diam,” katanya dalam Instagram Story.
Dalam hantaran sama, Nedim turut menegaskan mengenai akibat yang akan berlaku sekiranya nama Nora terus dikaitkan dalam isu panas itu.
“Awak tahu apa akan terjadi pada awak. Sekian terima kasih,” tutupnya memberi amaran.
Begitupun dia tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai amaran tersebut ditujukan kepada siapa dan individu mana yang mengheret nama isterinya dalam kecurangan serta pendedahan skandal bersilang rumah tangga Aliff.
Sejak Isnin lalu, arena hiburan tanah air memanas apabila Sarah Yasmine tiba-tiba menjadi watak baharu mendakwa dirinya kekasih gelap Aliff Aziz, sekali gus menyelak segala rahsia penyanyi itu dan Ruhainies.
Selain membuktikan Aliff dan Ruhainies menjalin cinta, Sarah juga mendakwa dramatis putih gebu itu menggunakan teman lelaki senegaranya untuk menjatuhkan isteri sendiri, Bella Astillah.
Pendedahan Sarah itu turut mengheret lebih ramai selebriti termasuk Caprice, Emma Maembong, Chacha Maembong serta pasangan suami isteri, Tom dan Fuad Rahman.
Paling dramatik apabila nama pelakon Sophia Albarakbah kembali terkait sebagai wanita yang menyumbang keruntuhan reputasi Aliff di mata peminat.
Drama semakin meleret-meleret apabila nama pelakon Meerqeen juga dipetik selepas mengaku hanya mengenali Sarah sebagai peminat, namun ibu tunggal anak dua terbabit mengatakan hubungan mereka tidak sekadar itu. – KOSMO! ONLINE