PETALlING JAYA – Pemegang francais KFC Malaysia, QSR Brands (M) Holdings mengakui telah menutup cawangan rangkaian makanan segera itu buat sementara waktu dan memindahkan pekerja yang terjejas ke tempat lain.
Dalam satu kenyataan,QSR berkata, tindakan yang diambil itu adalah langkah proaktif sebagai tindak balas kepada keadaan ekonomi mencabar dan sebagai cara untuk menguruskan peningkatan kos perniagaan, selain memberi tumpuan kepada zon perdagangan tinggi.
“Pekerja dari cawangan yang terjejas telah ditawarkan peluang untuk berpindah ke kedai yang beroperasi sebagai sebahagian daripada strategi taktikal untuk mengoptimumkan sumber dalam zon perdagangan dengan penglibatan pelanggan yang lebih tinggi.
“Menyumbang secara positif kepada masyarakat Malaysia, memelihara kecintaan jenama terhadap KFC dan melindungi pekerja jenama itu semuanya menjadi keutamaan kepada organisasi,” katanya.
QSR Brands bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah cawangan KFC Malaysia yang telah ditutup buat sementara waktu dan bilangan pekerja yang terjejas.
Bagaimanapun, syarikat itu berkata, KFC Malaysia telah menyumbang secara positif terhadap ekonomi Malaysia melalui jaminan pekerjaan untuk 18,000 orang di Malaysia dengan kra-kira 85 peratus adalah petugas Muslim.
QSR Brands juga menjadi antara pembayar cukai terbesar di Malaysia dan berbangga kerana dapat memberi kembali kepada masyarakat melalui KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah.
“Kami amat percaya rakyat kami akan mengiktiraf kehadiran kami, keikhlasan kami dan kerja keras kami dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE.