PETALING JAYA – Institusi kewangan Islam terutamanya Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB) berperanan membantu mengangkat darjat golongan miskin dan terpinggir, khususnya di negara-negara Islam yang dihimpit perang serta konflik berpanjangan.
Namun jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, usaha seumpama itu perlu melangkau lebih daripada sekadar menangani cabaran tradisional.
“IsDB perlu turut memainkan peranan bagi mendepani tantangan baharu seperti isu kemampanan alam sekitar, krisis keselamatan makanan, digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).
“Sekalung tahniah buat IsDB yang telah menyumbang bakti terhadap pembangunan komuniti miskin dan terpinggir selama 50 tahun.
“Saya percaya usaha ini akan berterusan, dikembangkan dan diperhebat oleh pimpinan IsDB,” jelas beliau dalam satu hantaran di media sosial rasmi Perdana Menteri, hari ini.
Tambah Anwar, Malaysia punya sejarah yang panjang bersama IsDB apabila negara ini terlibat dalam penubuhan bank tersebut, terutama menerusi peranan Bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) pertama.
Terdahulu, Perdana Menteri dijemput untuk hadir dan menyampaikan ucaptama di majlis Sambutan Jubli Emas IsDB dan Makan Malam Gala di Riyadh.
Turut bersama dalam majlis itu adalah Gabenor Riyadh, Putera Faisal Bandar Abdulaziz Al-Saud serta Pengerusi Lembaga Gabenor IsDB yang juga Menteri Kewangan Arab Saudi, Mohammed Al-Jadaan. – KOSMO! ONLINE.