PETALING JAYA – Terus mengunci mulut, pelakon Irma Hasmie hanya meminta orang ramai menitipkan doa agar Tuhan mempermudahkan urusannya dan anak-anak selepas tular dakwaan suaminya, Redza Syah Azmeer sudah berkahwin baharu.
Irma, 42, memberitahu dia enggan memberi sebarang komen lanjut berhubung perkara tersebut namun berkata dirinya dalam keadaan baik.
“Mohon doa supaya Allah SWT permudahkan segala urusan saya dan anak-anak serta dijaga dengan Rahmat-Nya.
“Doakan moga Allah beri ketenangan dan banyakkan rasa syukur. Apa yang penting Allah jaga hati dan fikiran kami (anak-anak),” katanya.
Mengenai status perkahwinannya ketika ini, pelakon filem Cinta Fotokopi itu terus membiarkan ramai berteka-teki apabila menolak untuk menjawab persoalan sama ada dirinya masih bergelar isteri atau sudah berpisah dengan Redza.
Sejak semalam, Redza mengundang persoalan apabila memuat naik foto perkahwinan dengan seorang wanita dikenali sebagai Fiza dalam Instagramnya.
Malah, dia turut menulis kapsyen berkaitan kehidupan baharu sebagai suami dengan wanita itu dan meminta orang ramai mendoakannya agar dipertemukan dengan kebahagiaan yang dicari.
Sejak Ogos tahun lalu, khabar angin mengenai rumah tangga Irma dan suami retak menanti belah selepas dikatakan tidak memuat naik foto bersama dalam akaun media sosial.
Irma dan Redza mendirikan rumah tangga pada 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata. – KOSMO! ONLINE