PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlukan ‘nafas segar’ terutama bahagian pentadbiran untuk kembalikan semula era kegemilangan badan induk itu selepas dikritik hebat sejak sejak awal tahun ini.
Pandangan tersebut disuarakan oleh pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli yang percaya FAM wajar diberikan transformasi untuk memastikan persatuan kembali berada di landasan yang tepat.
Kata Pekan, FAM perlukan tokoh korporat selaku pemimpin untuk mengembangkan lagi daya saing di peringkat tertinggi memandangkan bola sepak adalah sukan yang perlukan dana yang cukup besar.
“Mungkin FAM wajar dirombak kembali dengan melakukan transformasi terutama di posisi pentadbiran yang telah terpalit isu kontroversi baru-baru ini.
“Meskipun FAM bukanlah organisasi yang berasaskan profit keuntungan, saya percaya tokoh korporat lebih sesuai menjadi pemimpin di FAM.
“Ini kerana FAM perlu peruntukan yang tinggi untuk meningkatkan semula projek pembangunan dan kalau tiada duit, macam mana nak mencungkil bakat pelapis muda.
“Justeru, saya rasa wajar rombakan dibuat dengan peluang diberikan kepada tokoh korporat yang mampu meningkatkan aspek komersial selain mungkin bantuan bekas-bekas pemain yang ada pengalaman dan pendidikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Sementara itu, Pekan turut berpendapat tahun 2024 boleh dianggap antara yang terburuk FAM jika persatuan itu dinilai daripada aspek keputusan skuad kebangsaan.
“Prestasi bola sepak kita di pentas antarabangsa tidak membanggakan dan ia bermula sejak temasya Sukan SEA 2023 yang lepas.
“Selepas itu, kempen Piala Asia 2023 yang diharungi skuad senior juga gagal dan lebih malang harapan tinggi yang diletakkan pada skuad B-23 pada Piala Asia B-23 di Qatar juga berakhir dengan hampa,” katanya.