MANCHESTER – Manchester United dilaporkan sedang bersiap sedia untuk menjual 12 pemain mereka ekoran kebimbangan pelanggaran Peraturan Kewangan Adil (FFP) yang boleh menyekat perbelanjaan mereka pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Pemegang saham kelab tersebut, Sir Jim Ratcliffe dikatakan telah bersedia melakukan rombakan berkenaan untuk mengatasi masalah yang membelenggu United sejak era Sir Alex Ferguson lagi.
Menurut laporan, United bakal memasuki jendela perpindahan kali ini dengan had perbelanjaan bersih sebanyak £100 juta (RM595 juta) disebabkan oleh sekatan FFP selepas menghabiskan lebih dari £400 juta (RM2 bilion) dalam dua tahun pertama Ten Hag.
Keputusan yang dibuat pihak pengurusan United itu menyaksikan mata tertumpu kepada masa depan Marcus Rashford yang masih memiliki kontrak panjang dan menerima pendapatan £300,000 (RM1.78 juta) seminggu.
Prestasi hambar dipamerkan musim ini menyaksikan masa depannya dalam keadaan tidak menentu apabila hanya mampu meledak lapan gol dalam 40 penampilan, namun pendapatan yang tinggi menyukarkan United untuk menarik minat kelab-kelab lain.
Paris Saint-Germain sebelum ini berminat untuk melamarnya, namun jumlah gaji menyebabkan mereka mengalihkan fokus kepada penyerang AC Milan, Rafael Leao, namun pasukan Ratcliffe dilapor bersedia menyelesaikan isu melibatkan Rashford.
Dalam pada itu, United hampir pasti akan melepaskan khidmat Raphael Varane dan Anthony Martial yang bakal menamatkan kontrak mereka hujung musim ini sekali gus membolehkan United berjimat sehingga £450,000 (RM2.67 juta) seminggu.
Selain itu, kelab tersebut juga sedia mendengar tawaran untuk melepaskan Aaron Wan-Bissaka, Harry Maguire, Victor Lindelof, Scott McTominay, Christian Eriksen, Casemiro, Donny Van De Beek, Jadon Sancho dan Mason Greenwood. – AGENSI