fbpx

Che’gubard didakwa fitnah, hasut rosakkan nama baik YDPA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che'gubard (berbaju Melayu hijau) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas dua pertuduhan memfitnah dan menghasut untuk merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Bagaimanapun Badrul Hisham, 45, atau lebih dikenali Chegu’bard, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

“Saya faham, tidak mengaku salah,” kata Badrul Hisham.

Mengikut pertuduhan pertama, Badrul Hisham didakwa membuat penerbitan menghasut di Facebook atas nama ‘Chegubard’, di Taman Bukit Cheras, pukul 12.15 tengah hari pada 6 April lalu.

Bagi pertuduhan pertama itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Badrul Hisham mengeluarkan kenyataan fitnah, yang mana dia mempunyai sebab mempercayai bahawa kenyataan itu akan merosakkan nama baik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Kesalahan itu didakwa di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Jalan Sultan Abdul Halim, di sini, pukul 6 petang pada 22 Januari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan mengambil kira kesalahan yang dilakukan melibatkan YDPA.

“Pihak pendakwaan juga memohon perintah larangan bersuara (gag order) gar kedua-dua pihak tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum di mana-mana platform media sosial sehingga kes selesai.

“Perintah ini perlu untuk memastikan perjalanan kes tidak dikacau ganggu selain bagi mengekalkan kenterteraman awam dan mengelakkan komen-komen provokasi yang akan memburukkan keadaan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan lebih rendah atas alasan dia menanggung isteri dan empat anak.

“Selain itu jumlah jaminan RM20,000 yang ditawarkan agak tinggi berbanding hukuman yang diperuntukkan oleh seksyen itu (RM5,000). Pihak kami juga membantah perintah larangan kerana berpendapat ia adalah tidak berpelembagaan kerana rakyat perlu diberi kebebasan bersuara. Pihak pendakwaan juga tidak mengkhususkan perintah larangan yang dipohon,” katanya.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Siti Aminah kemudian membenarkan Badrul Hisham diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 27 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Mahkamah juga turut menolak permohonan pihak pendakwaan bagi perintah larangan bersuara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI