fbpx

43 teknologi MIMOS dikomersial, jana hasil RM209 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lih Kang ketika berucap pada majlis MIMOS Technology Preview 2024 di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Sebanyak 43 teknologi yang dibangunkan MIMOS Berhad dikomersialkan dengan hasil janaan berjumlah RM209.83 juta sekali gus menunjukkan penerimaan baik daripada pihak industri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), terdapat 15 teknologi dibangunkan dengan menyasarkan untuk mengkomersialkan sebanyak 20 projek pembangunan dan penyelidikan (R&D) menjelang akhir tahun depan.

Menurut beliau, beberapa hasil projek R&D yang mempunyai impak langsung kepada rakyat antaranya Kebolehjejakkan atau Traceability, dibangunkan berasaskan teknologi blockchain.

“Ia dilaksanakan dalam Sistem Pengurusan Vaksin untuk program vaksinasi ketika pandemik Covid-19.

“Begitu juga dengan projek MyDigitalID yang diperkenalkan dan sedang dilaksanakan secara berfasa untuk menyediakan pengesahan identiti yang selamat dalam talian,” katanya ketika berucap pada majlis MIMOS Technology Preview 2024 di sini hari ini.

Lih Kang berkata, salah satu teknologi MIMOS yang dipamerkan hari ini ialah sistem penyejukan bangunan iaitu MIMOS Autonomous Chiller Control & Energy Efficiency (Mi-ACE) system.

Katanya, sistem ini memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Thing (IoT) tanpa wayar untuk merevolusikan sistem penyejukan bangunan itu yang bakal diaplikasikan oleh rakan-rakan perniagaan MIMOS termasuk AXICOM, iSCADA NET, serta SquareCloud Malaysia Sdn. Bhd.

“MIMOS akan menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama AXICOM dan iSCADA NET, dan Perjanjian Lesen Teknologi (TLA) dengan SquareCloud bagi menandakan kerjasama itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI