JAKARTA – Kira-kira 100 pekerja sebuah kilang membuat beg di Majalengka, wilayah Jawa Barat mengalami histeria sehingga menyebabkan kakitangan lain diarah pulang awal, lapor laman berita Berita Satu.
Kejadian berlaku pada 25 April lalu sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan), beberapa jam selepas waktu kerja bermula.
Menurut seorang pekerja dikenali sebagai Muhammad Iqbal, peristiwa itu bermula selepas kakitangan mengadu melihat kepulan asap di salah satu bahagian di kilang tersebut.
“Pada awalnya, ada kepulan asap muncul di bahagian tengah kilang. Sejurus selepas itu, ada seorang pekerja mula menjerit dan meracau-racau sebelum tindakan serupa berlaku pada orang lain,” ujarnya.
Tambah Iqbal, sekitar 100 pekerja meracau-racau dan mengalami histeria selama kira-kira sejam.
“Semua mangsa ialah pekerja perempuan. Mereka histeria selama kira-kira sejam dengan ada yang berjaya dipulihkan serta ada juga terpaksa dihantar pulang,” jelasnya.
Disebabkan kejadian itu, pekerja-pekerja lain diarah pulang awal agar histeria tersebut tidak ‘berjangkit’ kepada lebih ramai orang.
Video mengenai kejadian tersebut dimuat naik di media sosial dan menjadi tular.
Ia menunjukkan sebilangan mangsa menjerit dan meronta-ronta sambil tangan dan kaki mereka dipegang oleh pekerja-pekerja lain.
Salah seorang daripada mereka sempat dibawa ke pusat kesihatan setempat untuk menerima rawatan.
Menurut pegawai perubatan yang merawat pesakit, Dr. Eman S, hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami histeria kerana sakit perut akibat belum bersarapan.
Tambahnya, gejala histeria kerap menimbulkan kesan domino sehinggakan orang di sekeliling mudah dijangkiti keadaan serupa.
“Ia bergantung kepada keadaan dalaman mangsa yang dijangkiti (histeria),” jelasnya. – AGENSI