PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (Metmalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di sembilan negeri sehingga 8 malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, cuaca buruk yang berlarutan sehingga awal malam itu dijangka melanda keseluruhan negeri Semenanjung kecuali Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka dan Kuala Lumpur.
“Hujan lebat berserta angin kencang dijangka berlaku di Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu) dan Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan).
“Cuaca buruk sama turut dijangka di Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang), Putrajaya, Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau) dan Johor (Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru),” ujarnya.
Sementara itu, di Sarawak pula, hujan lebat dan angin kencang dijangka tertumpu di Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu), Mukah dan Miri (Miri dan Marudi).
“Selain itu, hujan lebat,ribut petir dan angin kencang turut dijangka di Sabah melibatkan Pedalaman (Tambunan) dan Pantai Barat (Ranau) sehingga 8 malam ini,” ujar Metmalaysia. – KOSMO! ONLINE.