HULU SELANGOR – Cadangan Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) untuk memboikot calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao hanya akan memakan diri sendiri khususnya buat masyarakat India.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) I, Ramanan Ramakrishnan berkata, ia kerana tiada kepastian bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain dapat memberikan bantuan kepada komuniti India di Kuala Kubu Baharu.
“(P. Ramasamy) cakap pandai untuk boikot tidak mengapa, tapi jika ADUN yang menang selepas ini tak dapat tolong mereka, adakah beliau akan pergi tolong (penduduk). Sebab saya sudah lihat banyak kali, lepas menang kita bukan kerajaan negeri dan tiada peruntukan.
“Siapa komuniti India yang yakin dengan beliau ikutlah tapi bila masalah datang saya minta P. Ramasamy selesaikan masalah penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program sembang santai Vanakam Madani di Auditorium Dato Abdul Halim, Batang Kali, di sini hari ini.
Dalam pada itu, masyarakat India di Kuala Kubu Baharu mendakwa mereka tercicir daripada menerima bantuan dan faedah yang diberikan kerajaan kepada rakyat.
Ramanan berkata, dakwaan itu susulan kekeliruan daripada persepsi yang dimainkan oleh pihak tertentu hingga menyebabkan masyarakat Indian tidak mendapat maklumat tepat.
“Memang keliru la perasaan mereka. Sebab tadi yang saya pun dapat tahu semua melahirkan kemarahan.
“Berita yang disensasikan pembangkang , dia buat fitnah, tohmahan yang tidak betul, dia keluarkan, jadi itu yang mereka dapat,” katanya pada program sembang santai Vanakam Madani di Auditorium Dato Abdul Halim, Batang Kali, di sini hari ini.
Tinjuan Kosmo! di sini mendapati kira-kira 300 masyarakat India di Kuala Kubu Baharu menghadiri program berkenaan.
Antara isu yang dibangkitkan iaitu mereka tidak menerima inisiatif-inisiatif yang disediakan oleh kerajaan susulan tidak menerima maklumat tepat berhubung perkara terbabit.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, beliau terkejut mendengar rungutan tersebut dan akan berusaha mencari jalan untuk menyelesaikannya
“Kalau kita tengok, mereka tidak tahu sebenarnya apa inisiatif-inisiatif yang ada. Mereka marah sebab dia orang cakap Perdana Menteri tidak buat apa-apa untuk mereka. Tetapi selepas diberi penjelasan, semua okey,” ujarnya.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao, Khairul Azhari Suat (Perikatan Nasional) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN itu pada 11 Mei depan, manakala hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari. – KOSMO! ONLINE.