fbpx

Piala Thomas: Zii Jia lega sumbang mata pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA menyumbang mata pertama buat kem negara selepas menang ke atas Lee Cheuk Yiu dengan straight-set. - FB BAM

MATA pembakar semangat disumbangkan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia ketika membantu skuad badminton negara mencatat kemenangan bersih 5-0 ke atas Hong Kong dalam aksi sulung Kumpulan D pada saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Hi Tech Zone semalam, bekas juara All England itu menampilkan aksi cukup bertenaga bagi mencatat kemenangan 21-18, 21-18 ke atas Lee Cheuk Yiu dalam tempoh 45 minit.

Mata pertama diraih Zii Jia sekali gus menyuntik semangat rakan sepasukan yang lain untuk turun menampilkan aksi terbaik dan ia dapat dibuktikan apabila Malaysia melakar kemenangan bersih.

“Secara keseluruhan, permainan agak bagus dan lega kerana dapat menyumbang mata pertama buat Malaysia ketika bertemu Hong Kong. Secara jujur, saya sedikit tertekan dan tahu mata ini sangat penting kepada pasukan.

“Prestasi saya juga baik asalkan bermain seperti ini. Sebenarnya tidak ada strategi yang istimewa pun berdepan Cheuk Yiu. Cuma jurulatih (Wong Tat Meng) ada kongsi sedikit pandangan,” kata Zii Jia selepas tamat perlawanan.

Aksi berdepan Hong Kong dianggap cukup penting kerana Malaysia akan berada selangkah di pentas suku akhir sekiranya mencatat kemenangan sebelum bertemu Algeria bagi aksi kedua peringkat kumpulan hari ini.

Tambah Zii Jia, meskipun pertemuan dengan Algeria memberi peluang kepada pemain-pemain negara untuk bertenang, namun dia memberi amaran supaya tidak berasa terlalu selesa kerana Malaysia perlu berdepan Denmark bagi aksi terakhir Kumpulan D Selasa nanti.

“Lawan Algeria nanti, mungkin kita boleh bertenang sikit, tetapi bukan terlalu tenang kerana masih ada Denmark. Apa yang pasti, perlawanan itu akan lebih sukar berbanding Hong Kong,” ujar pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Selepas Zii Jia menyumbang mata pertama, beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meletakkan Malaysia 2-0 di depan apabila mudah menewaskan Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi 21-16, 21-12.

Kemudian, perseorangan kedua, Leong Jun Hao menang 17-21, 21-12, 21-15 ke atas Ng Ka Long bagi menghadiahkan mata kemenangan sebelum Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadikan kedudukan 4-0 dengan menewaskan Lee Chun Hei-Tang Chun Man 21-19, 21-18.

Mata kelima Malaysia pula disumbangkan perseorangan muda negara, Justin Hoh yang terpaksa bermandi peluh sebelum menang 21-17, 19-21, 21-17 ke atas Chan Yin Chak.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI