KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 900,000 rokok pemanas atau peranti pemanas tembakau bernilai RM270,00 tanpa cukai di tepi tebing sungai Kampung Pasir Pekan, di sini pada Rabu lalu.
Serbuan dijalankan Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang kira-kira pukul 9.30 malam selepas merampas 93 kotak mengandungi 1.7 juta batang rokok seludup di Kampung Pasir Pekan Hilir di sini.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, ia merupakan rampasan pertama rokok pemanas seludup yang dibawa masuk ke Kelantan.
Menurutnya, siasatan mendapati, kesemua rokok atau peranti itu akan dijual untuk pasaran negeri ini dan Lembah Klang.
“Rokok pemanas itu dijual pada harga RM14 sekotak dan mendapat permintaan tunggi terutamanya dalam kalangan golongan muda.
“Siasatan turut mendapati, kemungkinan besar banyak rokok pemanas sudah dibawa masuk ke negara ini memandangkan ada permintaan terhadap peranti tersebut,” katanya pada sidang akhbar Bahagian Penguatkuasaan JKDM di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, sebelum rampasan rokok pemanas itu, pihaknya merampas sebanyak 1.7 juta batang rokok seludup pelbagai jenama di dalam sebuah lori di Kampung Pasir Pekan Hilir, di sini pada pukul 8.10 malam.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas lori berkenaan membawa kepada penemuan sebanyak 93 kotak mengandungi rokok seludup bernilai RM556,400 termasuk cukai. – KOSMO! ONLINE