fbpx

Manfaat peluang tunaikan haji dengan sempurna – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin berkenan menyantui bakal jemaah haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar Jemaah Muassasah yang menunaikan haji kali ini agar memanfaatkan peluang yang telah diberikan kepada mereka.

Titah baginda, perbelanjaan untuk menunaikan fardhu haji ketika ini telah bertambah sehingga mencecah RM33,300 untuk seorang jemaah haji.

Bagiamanapun, baginda difahamkan Jemaah Muassasah yang pertama kali untuk menunaikan haji tidak perlu membayar sebanyak jumlah tersebut.

“Beta dimaklumkan pihak Lembaga Tabung Haji akan membiayai sebahagian besar kos mengerjakan haji kepada Jemaah Muassasah yang terlibat.

“Oleh demikian, beta berharap pada tuan-tuan dan puan-puan yang berpeluang menunaikan haji pada tahun ini supaya memanfaatkan peluang yang ada dengan memasang niat untuk melaksanakan haji dengan sempurna dan sebaik yang mungkin bagi mendapatkan haji yang mabrur,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Kursus Perdana Haji Musim 1445 Hijrah Peringkat Negeri Selangor anjuran Lembaga Tabung Haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin telah menitahkan supaya kerajaan negeri menaja 36 peserta haji yang dipilih dalam kalangan rakyat negeri ini yang tidak mampu tetapi benar-benar berhasrat untuk menunaikan ibadah tersebut.

Jelas baginda, kerajaan negeri akan membelanjakan sebanyak RM1.2 juta untuk program tersebut.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dalam ucapannya memaklumkan seramai 31,600 bakal haji telah mula mengikuti Kursus Perdana Haji Musim 1445H/2024M anjuran TH yang diadakan secara berperingkat di seluruh negara bermula 20 April lalu hingga 5 Mei depan.

“Kursus selama dua hari satu malam itu merupakan persiapan terakhir bagi bakal jemaah haji terpilih pada musim ini sebelum berangkat ke Tanah Suci yang melibatkan aktiviti praktikal seperti tawaf, sa’ie, bermabit dan melontar,” katanya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI