fbpx

Liga Super: Sri Pahang sasar kelompok tiga terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sri Pahang telah memperkenalkan jersi baharu musim 2024/2025 di Kuantan, kelmarin. - Foto oleh Shaikh Ahmad Razif/KOSMO!

PASUKAN Sri Pahang meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga kelab terbaik Liga Super musim 2024/2025 menjelang aksi pembuka tirai pada Mei depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, harapan yang disandarkan ke bahu barisan kejurulatihan dan pemain Sri Pahang itu dilihat mampu di capai berdasarkan persiapan mantap yang dilakukan lebih awal berbanding musim lalu.

“Musim lalu Sri Pahang FC menamatkan kedudukan kelima Liga Super dan dengan kemasukan beberapa pemain baharu dan berpengalaman termasuk import, sasaran tiga kedudukan teratas Liga Super adalah yang terbaik.

“Insya-Allah dengan semangat dan sokongan peminat setia Tok Gajah termasuk beraksi di gelanggang baharudi Temerloh, sasaran itu mampu dicapai,” katanya.

Mohammed Suffian berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jersi dan Pemain Sri Pahang musim 2024/25 di sebuah hotel di Kuantan kelmarin.

Menjelang musim baharu itu, SPFC mengumumkan kerjasama strategik bersama Voltra Pro dengan melancarkan jersi yang diyakini akan memperbaharui identiti dan pengalaman penyokong bola sepak Pahang.

Tiga jersi yang diumumkan itu ialah kuning dan biru jersi beraksi di gelanggang sendiri yang diberi nama tempoyak yang bermotif makanan wajib warisan negeri Pahang, dengan warna berani yang mencerminkan pelbagai ramuan dan rasa serta semangat kebersamaan komuniti.

Jersi kedua iaitu di gelanggang lawan berwarna coklat muda yang mengambil inspirasi kopi latte seperti secawan kopi sempurna yang membangkitkan semangat.

Manakala jersi alternatif diberi nama Tok Gajah, yang diinspirasikan warna dan corak kulit gajah yang melambangkan kemegahan dan kekuatan terutama apabila bertandang ke gelanggang lawan.

Mengulas lanjut, Mohammed Suffian mengesahkan nilai penajaan serta kerjasama strategik itu berjumlah RM1 juta yang bukan sahaja menaja jersi skuad Liga Super, malah skuad Sri pahang bawah 23, 20 dan 18 tahun.

“Oleh itu kita mengharapkan kerjasama ini akan membantu meningkatkan pencapaian terbaik Sri Pahang yang diperkuatkan 25 pemain, masing-masing 19 tempatan dan enam import,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI