PUTRAJAYA – UMNO menyokong inisiatif untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan sedia ada demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti mempunyai misi dan komitmen jelas iaitu komited menyokong apa jua saranan demi kepentingan negara yang stabil politik serta ekonominya yang berkembang pesat.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Kerajaan Perpaduan sedia ada, mesti mempertahankan kestabilan politik di negara.
“Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) adalah medan untuk terjemahkan bagaimana kestabilan politik, penyatuan hati dan fikiran dalam kalangan 18 parti ini dapat dipertahankan,” katanya di Majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rancangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk melakukan persediaan rapi pada PRU16 kelak sekali gus memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua. – KOSMO! ONLINE