KUALA KRAI – Seorang lagi mangsa kemalangan melibatkan dua buah trak pikap di Kilometer 78 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Bukit Ah Kim di sini meninggal dunia pada pagi tadi.
Kematian mangsa itu menjadikan empat individu maut dalam nahas tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, mangsa yang merupakan penumpang trak pikap jenis Ford Ranger menghembuskan nafas semasa menerima rawatan di zon merah Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini pukul 1.50 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku semasa trak pikup jenis Toyota Hilux dipandu oleh seorang lelaki berusia 37 tahun bersama tiga penumpang dari Ipoh, Perak menghala ke Machang.
“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung sebuah lagi trak pikap jenis Ford Ranger dipandu oleh seorang lelaki berusia 53 tahun di laluan bertentangan.
“Kejadian itu menyebabkan pemandu dan seorang penumpang Toyota Hilux meninggal dunia di tempat kejadian. Selain itu, penumpang Ford Ranger turut maut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mazlan memberitahu, siasatan lanjut masih lagi sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, tiga maut manakala lima lagi parah apabila dua trak pikap bertembung dalam kemalangan di jalan Kuala Krai-Gua Musang disini tengah malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkait kemalangan itu pada pukul 12.36 tengah malam. – KOSMO! ONLINE