fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: UMNO Pahang balas jasa PH bantu kemenangan PRK Pelangai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN ROSDY (tiga dari kanan) diiringi Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan Prihatin Pahang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Datuk Sabariah Saidan dalam Karnival Moh Makmur Bera di Bera hari ini.

BERA – UMNO Pahang akan membalas jasa Pakatan Harapan (PH) yang membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dengan membantu calon PH dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor.

Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BN akan berusaha sebaik mungkin bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH) dengan memfokuskan kawasan tertentu yang dikenalpasti.

“Bagi PRK Kuala Kubu Baharu sudah tiba masanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk membalas balik sokongan dan kerja kuat parti daripada PH semasa PRK DUN Pelangai tempoh hari.

“Kita dapati semasa PRK Pelangai, PH ‘all out’ membantu calon kita dan akhirnya kita boleh menang cemerlang walaupun pada peringkat awal hanya mengatakan boleh menang tipis dan mungkin akan kalah ketika itu,” katanya pada sidang akhbar pada program Moh Karnival Makmur Bera di sini hari ini.

Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO berkata, antara kawasan yang akan difokuskan oleh UMNO Pahang adalah kawasan Orang Asli dan juga kawasan orang Melayu.

PRK DUN Kuala Kubu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Pang Sock Tao; calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut, calon bebas iaitu Nyau Ke Xin dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menetapkan PRK DUN itu pada 11 Mei depan, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI