fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: Muhyiddin yakin 110 peratus rampas kerusi daripada PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin (dua kanan) ketika mengiringi calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari (tengah) ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor hari ini. Foto SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

HULU SELANGOR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin calon parti itu, Khairul Azhari Saut akan berjaya merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu daripada PH yang diwakili DAP sejak 2013 pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

“(Saya) 110 peratus. Dia (Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) yakin, saya pun yakin. Penentunya bukan saya atau dia kerana kami berdua bukan pengundi. Apa yang penting adalah orang yang ada di Kuala Kubu Baharu.

“Hak Zahid Hamidi untuk kata (yakin) 100 peratus. Mungkin berdasarkan keputusan calon yang lepas. Itu sudah berlalu, ini pilihan raya baharu dalam situasi yang baharu. Sebab itu kita buat keputusan di masa yang sesuai untuk menamakan calon Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon dekat Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, isu subsidi, kos sara hidup, pendidikan dan infrastruktur akan dijadikan sebagai bahan kempen utama bagi membuktikan bahawa kerajaan tidak berupaya menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya sudah dengar banyak komen daripada rakyat bukan sahaja di Kuala Kubu Bharu tetapi termasuk di tempat-tempat lain. Ia cukup mendesak dan (saya) tidak nampak keupayaan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan masalah.

“Menambahkan masalah ada, menyusahkan pun ada tetapi penyelesaian tidak ada. Jadi apa tujuan menjadi kerajaan? Baik di peringkat negeri ataupun Persekutuan jika tidak menyelesaikan masalah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyeru pengundi di Kuala Kubu Baharu tidak memboikot PRK sebaliknya menggunakan hak mereka untuk mengundi bagi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan.

“Kalau tidak suka pihak kerajaan, pangkah PN. Itu baru ada kesan, kalau kita duduk rumah atau tidak keluar mengundi itu satu kerugian sebagai seorang pengundi,” katanya.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat calon iaitu Khairul Azhari yang akan berhadapan calon Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao, Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK DUN itu pada 11 Mei depan, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI