KANGAR – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anak lelaki Menteri Besar Perlis tidak memberi kesan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia adalah perkara biasa yang berlaku dan berharap siasatan SPRM dapat dilakukan dengan adil dan telus.
“Pada tahun 2009, bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pun disiasat SPRM kononnya ditaja ahli perniagaan pergi umrah. Kita terbuka, boleh siasat ikut undang-undang dan jika ada asas tuduhlah di mahkamah.
“Bukan Pas saja, orang lain pun semua ada kes. Sama ada diambil tindakan tidak. Dahulu, saya menteri yang jaga SPRM. Jadi kita harap SPRM telus bertindak secara profesional tanpa pilih bulu atau berat sebelah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita adakah tangkapan Bahagian Operasi Khas SPRM menjadi peluru untuk PRK Kuala Kubu Baharu ketika Majlis Rumah Terbuka Pas Pusat di Dewan 2020, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE