fbpx

Piala Thomas: Malaysia catat kemenangan sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUN HAO membalas pukulan Ka Long ketika menghadiahkan mata ketiga buat Malaysia bertemu Hong Kong sebentar tadi. - SABRI HASSAN/BAM

KUALA LUMPUR – Skuad badminton lelaki kebangsaan memulakan aksi pada saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan 5-0 ke atas Hong Kong sebentar tadi.

Aksi sulung Kumpulan D itu dianggap sangat penting buat Malaysia bagi memastikan pasukan selangkah ke pusingan suku akhir menjelang perlawanan kedua menentang Algeria esok.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Hi Tech Zone itu, Malaysia bermula garang menerusi jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang menewaskan Lee Cheuk Yiu dalam aksi straight set 21-18, 21-18.

Kemenangan itu sekali gus membakar semangat rakan sepasukan yang lain apabila beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbang mata kedua dengan menewaskan Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi 21-16, 21-12.

Hong Kong cuba merapatkan kedudukan menerusi perseorangan kedua, Ng Ka Long, namun akur dengan kekalahan 21-17, 12-21, 15-21 kepada Leong Jun Hao, sekali gus menjadi mata kemenangan buat Malaysia.

“Saya tahu akan bermain sebagai perseorangan kedua dan menentang Ka Long. Memang ada buat persiapan dengan menonton rakaman video permainannya, jadi sangat gembira dapat sumbang mata buat Malaysia,” kata Jun Hao.

Selepas Jun Hao mengesahkan kemenangan Malaysia, beregu kedua, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menambah derita Hong Kong apabila menyumbang mata keempat negara dengan menewaskan Lee Chun Hei-Tang Chun Man 21-19, 21-18.

Kemudian, giliran perseorangan ketiga, Justin Hoh membuktikan kemampuan dengan melengkapkan kemenangan bersih 5-0 ke atas Hong Kong apabila menewaskan Chan Yin Chak 21-17, 19-21, 21-17.

Hasil kemenangan itu, Malaysia berpeluang untuk mengesahkan tempat ke suku akhir sekiranya menang ke atas Algeria esok sebelum membuat perhitungan dengan juara edisi 2016, Denmark Selasa nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI