KUALA LUMPUR – Kutip pakaian ditemui di tepi jalan atau jatuh dari ampaian untuk diniagakan di kaki lima kedai sekitar flat di Jalan Abraham Off Jalan Imbi, di sini.
Demikian tindakan salah seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada 63 individu yang ditahan menerusi Op Pintu dan Op Belanja Jabatan Imigresen Kuala Lumpur (JIMKL), semalam.
Meskipun telah ‘kantoi’ ditahan bersama puluhan pakaian terpakai yang disusun di kaki lima, lelaki warga Bangladesh itu tetap mencuba nasib menyelinap disebalik orang ramai untuk melarikan diri.
Bagaimanapun, cubaan itu berjaya digagalkan pegawai Imigresen yang pantas mengesan helah licik warga asing berkenaan.
Enggan mendedahkan identitinya lebih lanjut, lelaki berusia lingkungan 40-an itu mendakwa, dia bertindak demikian demi meneruskan kelangsungan hidup selain mencari duit lebihan.
Katanya, ia merupakan rutin mingguan selepas tidak dapat meneruskan pekerjaan sebagai buruh binaan kerana menghidap penyakit strok, baru-baru ini.
“Sudah enam tahun tinggal sini, ini bukan baju saya, saya kumpul mana yang jatuh (dari ampaian atau jalan) untuk jual dekat kawan-kawan (warga asing), cari sikit duit makan.
“Sebelum ini kerja buruh binaan tapi lepas sakit terpaksa buat kerja ini. Duit semua sudah hantar dekat kampung (negara asal), nak balik kampung juga susah sebab tiada duit,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.
Sementara itu, salah seorang pekerja buruh binaan warga asing yang ditahan mendakwa kebanyakkan rakan senegaranya terpaksa melakukan pekerjaan selain yang didaftarkan pada permit atas faktor kewangan.
Dakwa Aminur, dia juga turut terkesan apabila gagal memperoleh gaji disebabkan projek pembinaan hampir selesai selain menunggu projek terbaharu dari majikan.
“Susah sekarang banyak projek (pembinaan) sudah siap. Bos (majikan) banyak kali kata gaji lambat sikit sebab kontraktor utama tak bayar dia. Saya dua bulan gaji dibayar sikit-sikit tidak macam dulu,” ujarnya yang merupakan warga Bangladesh.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur (JIMKL), Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff menegaskan warga asing yang menyalahgunakan permit pekerjaan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63.
Jelasnya, serbuan dilakukan lanjutan aduan diterima daripada orang awam berhubung isu kebanjiran warga asing selain penjaja haram di kaki lima kediaman tersebut..-KOSMO! ONLINE.