BRIGHTON – Pemain sayap sensasi Manchester City, Phil Foden terus cemerlang apabila kali ini meledak dua gol ketika menewaskan Brighton 4-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Amex awal pagi semalam.
Foden, 23, kini sudah meledak 16 gol EPL dan keseluruhan 24 gol daripada semua kejohanan bersama City musim ini yang mana ia adalah pencapaian terbaiknya sepanjang tujuh tahunnya bersama juara Eropah tersebut.
Kecemerlangan bintang muda England itu turut menyaksikan The Citizens melonjak ke tangga kedua dan hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Arsenal, namun masih berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.
“Saya bernasib baik mendapat gol kedua dalam perlawanan ini, tetapi situasi itu membolehkan kami menyesuaikan diri kerana mendahului lawan 3-0 di babak pertama,” kata Foden.
Biarpun turun tanpa penggempur utama, Erling Haaland, namun ia tidak menjadi masalah buat skuad bimbingan Pep Guardiola itu yang meraih dua lagi gol menerusi Kevin De Bruyne dan Julian Alvarez.
Malah, Foden turut menjadi pemain ketiga berusia bawah 23 tahun di bawah bimbingan Guardiola berjaya menjaringkan 50 gol dalam kariernya selepas Lionel Messi dan Haaland.
Sementara itu, De Bruyne enggan menganggap mereka kini berkelebihan besar untuk mencipta sejarah baharu menjuarai EPL buat kali keempat berturut-turut selepas memenanginya pada 2020/21, 2021/22 dan 2022/23. – AGENSI