KUALA LUMPUR – Cubaan ‘menghidupkan’ flat hanyir dan kotor sebagai kawasan koloni warga asing digagalkan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur (JIMKL) dalam serbuan di flat Jalan Abraham off Jalan Imbi, di sini, semalam.
Menerusi Op Belanja dan Op Pintu bermula pukul 6 petang itu, seramai 105 warga asing diperiksa termasuk dua wanita dan seorang lelaki warga tempatan disyaki menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) di premis perniagaan mereka.
Wartawan Kosmo! yang mengikuti serbuan mendapati puluhan warga asing bertempiaran lari sebaik sahaja anggota dan pegawai Imigresen mula menahan beberapa penjaja haram warga asing di sekitar kaki lima kawasan itu.
Malah, ketika pemeriksaan dalam premis dilakukan, salah seorang lelaki warga Bangladesh mengejutkan pasukan serbuan apabila terjatuh dari siling secara tiba-tiba sekali gus cubaan untuk dirinya mengelak daripada dicekup telah gagal.
Sepanjang dua jam operasi berlangsung, dapat digambarkan rata-rata warga asing yang menginap dalam bangunan usang itu seakan selesa dengan kawasan yang kotor dan hanyir apabila menjadikan salah satu laluan tangga sebagai tempat pengumpulan sampah selain ‘ditemani’ tikus di setiap tingkat.
Seorang penduduk warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an berkata, dia menyewa sebuah bilik di flat berkenaan bersama tiga rakan senegara sejak dua tahun lalu dengan bayaran RM500 sebulan.
“Duit kami kongsi untuk bayar sama-sama harga bilik, duit gaji lebih kena hantar keluarga dekat kampung (negara asal).
“Masak, makan semua kami bertiga dalam sini (bilik), sini okay sebab dekat dengan tempat kerja, apa-apa juga senang sebab ramai kawan,” kata pekerja buruh binaan tersebut.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur (JIMKL), Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan tersebut memfokuskan warga asing tiada dokumen sah, bekerja tanpa permit dan menjaja secara haram susulan aduan orang awam.
“Hasil risikan selama dua bulan mendapati aktiviti tersebut benar berlaku.
“Berbekalkan 33 anggota JIMKL, seramai 63 PATI ditahan membabitkan 51 lelaki warga Bangladesh, Myanmar (sembilan), Indonesia (tiga),” katanya di lokasi serbuan.
Jelas Wan Saupee, pemeriksaan mendapati majoriti warga asing mempunyai permit kerja sektor pembinaan namun ada diantara mereka tidak bekerja dipercayai akibat kontrak tamat atau ditinggalkan majikan.
“Perkara ini perlu dilihat dengan serius terutama dengan Program Repatriasi Migran (PRM) yang sedang berjalan. Saya menggesa majikan memiliki kuota pekerja asing yang sudah tiada kerja supaya segera hantar mereka pulang (negara asal),” tegasnya
Mengulas mengenai tiga warga tempatan yang diperiksa, Wan Saupee menegaskan sekiranya disyaki menggajikan PATI boleh disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara.
Terdahulu, Kosmo! mendedahkan kawasan sekeliling flat di Jalan Abraham, Jalan Imbi, di sini, seolah-olah dikuasai warga Bangladesh dan Myanmar yang bersidai di kaki lima bangunan tersebut hingga membuatkan warga tempatan risau untuk berjalan di situ.
Lebih memualkan, penduduk di sana tidak mengendahkan pengurusan sampah hingga mengundang kehadiran tikus dan bau hanyir.
Tinjauan di lokasi tersebut Berada di situ dirasakan seolah-olah seperti mengunjungi negara dunia ketiga walaupun dikelilingi bangunan pencakar langit di tengah ibu kota.-KOSMO! ONLINE.