LONDON – Pengendali Feyenoord, Arne Slot membuat pendedahan terbuka bahawa sangat berharap untuk mengemudi Liverpool dan mengambil alih tugas Jurgen Klopp yang bakal meninggalkan Anfield hujung musim ini.
Liverpool sebelum ini dilaporkan sudah memulakan rundingan bersama kelab Belanda itu untuk melihat potensi mendapatkan khidmat pengendali berkenaan.
Jurulatih dari Bergentheim, Belanda itu mendedahkan keinginannya itu ketika sesi temu bual selepas Feyenoord mencatat kemenangan 3-1 ke atas Go Ahead Eagles pada aksi Liga Eredivisie sebelum ini.
“Saya sangat jelas dan pasti dengan keputusan untuk menyatakan minat terhadap peluang mengembangkan karier di sana (Anfield).
“Apa yang boleh saya katakan, kedua-dua kelab sedang dalam proses rundingan dan saya hanya perlu menunggu,” katanya.
Tambahnya, beliau percaya perbincangan tersebut akan menemui kata sepakat sekali gus membolehkannya memburu impian untuk menjadi pengurus di Liga Perdana Inggeris dan mengemudi Liverpool.
Slot, 45, sebelum ini telah membantu Feyenoord menjulang gelaran Eredivisie untuk musim lalu serta meraih trofi Piala Belanda pada musim ini dan beliau juga sebelum ini turut dikaitkan dengan jawatan pengurus di Tottenham Hotspur serta Leeds United.
Liverpool masih mampu berunding mengenai pampasan yang perlu diberikan kepada Feyenoord untuk mendapatkan Slot apabila klausa pelepasan dalam kontrak jurulatih berkenaan hanya akan aktif tahun depan.
Kapten Liverpool, Virgil Van Dijk sebelum ini telah memberi pandangan bahawa filosofi permainan Slot sangat sesuai dengan The Reds selain menganggap beliau adalah salah seorang jurulatih terbaik di Belanda. – AGENSI