LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp bertegas pasukannya belum lagi boleh dianggap ‘cacat’ dan kini bersedia untuk mengecewakan West Ham United menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) seterusnya di Stadium London malam ini.
Walaupun dihimpit kecewa tewas buat kali pertama kepada Everton di Goodison Park sejak 2010, namun Klopp enggan The Reds terus dibuli walaupun sedar peluang untuk muncul juara EPL kini semakin pudar.
“Kami perlu bangkit secepat mungkin kerana anda boleh bayangkan cabaran pasukan daripada mental dan juga fizikal. Jika kamu mampu dapatkan kemenangan, cabaran mental akan dapat diatasi, namun sekarang kami kena lakukan kedua-duanya sekali.
“Mungkin West Ham sedang menanti kami dan berharap kami hadir dengan hanya sebelah kaki. Namun saya akan mencuba segala-galanya untuk tampil lebih baik berbanding aksi dengan Everton,” katanya.
Sebelum ini, Klopp menyatakan peluang The Reds untuk mencabar kejuaraan hanya akan kembali terbuka sekiranya Manchester City dan Arsenal dilanda krisis.
Secara matematik, Liverpool belum lagi tersisih daripada mencabar kejuaraan dan kini harus mengambil kesempatan ke atas West Ham yang turut dilanda situasi sukar sehingga masa depan pengurusnya, David Moyes turut menjadi perdebatan.
Selepas 34 perlawanan, Liverpool kini hanya mampu mengutip 74 mata malah isu prestasi juga menyaksikan The Reds tersingkir daripada Liga Europa. – AGENSI