PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Riyadh, Arab Saudi sempena mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia bermula hari ini hingga 29 April 2024.
Menurut Wisma Putra, kehadiran Perdana Menteri adalah atas jemputan Putera Mahkota, Putera Mohammed Salman juga merangkap Perdana Menteri Arab Saudi.
“Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan selain Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Mesyuarat Khas yang bertemakan Global Collaboration, Growth and Energy Development itu juga akan dihadiri oleh ketua negara dan kerajaan serta pemimpin industri,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Menurut Wisma Putra, perbincangan akan tertumpu kepada isu pembangunan mampan, keselamatan tenaga, perdagangan, pelaburan serta isu-isu geopolitik semasa.
“Perdana Menteri akan menyertai Sesi Panel bertemakan New Vision for Global Development bersama pemimpin-pemimpin negara lain semasa pembukaan mesyuarat khas itu.
“Selain itu, Perdana Menteri akan menyertai Joint Regional Strategy Dialogue on ASEAN – Gulf Cooperation Council (GCC).
“Sesi itu diadakan khusus untuk mengetengahkan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya, Perdana Menteri juga akan menyampaikan ucaptama dalam sesi berkenaan.
“Perdana Menteri juga akan menghadiri Country Strategy Dialogue di mana beliau akan berinteraksi dengan pemimpin industri dunia bagi mengetengahkan peluang ekonomi di Malaysia.
“Sesi ini diadakan khas untuk membolehkan Malaysia mengetengahkan keutamaan strategik dan inisiatif negara termasuk pertumbuhan ekonomi dan fiskal serta peluang perdagangan dan pelaburan,” katanya. – KOSMO! ONLINE