BARCELONA – Pengendali Barcelona, Xavi Hernandez membuat kejutan apabila memilih untuk kekal membimbing pasukan The Catalans itu pada musim depan sekali gus membatalkan hasrat untuk ‘angkat kaki’ pada penghujung musim ini.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden Barcelona, Rafa Yuste yang mendedahkan Xavi telah bersetuju untuk membuat ‘pusingan U’ dengan menghormati kontrak sedia ada bersama pasukan itu sehingga penghujung musim 2025.
“Xavi akan kekal bersama kami pada musim depan kerana beliau sangat gembira di sini. Secara jujur, pasukan tidak pernah berbincang dengan mana-mana jurulatih sejak dia umumkan mahu angkat kaki pada Januari lepas.
“Ini kerana pengarah sukan kami, Deco meletakkan kepercayaan penuh kepada Xavi bahawa hasrat (untuk meletakkan jawatan) tidak akan diteruskan,” kata Yuste.
Sebagai rekod, Xavi telah membuat keputusan mengejut pada Januari lalu untuk meletakkan jawatan lebih awal apabila berakhir saingan kempen musim ini.
Malah, Presiden Barcelona, Joan Laporta dilaporkan sudah mengadakan perbincangan untuk melantik pengendali kelahiran Jerman, Hansi Flick selaku jurulatih baharu pasukan.
Selain itu, beberapa jurulatih ternama Eropah turut dikaitkan ke Camp Nou seperti Mikel Arteta (Arsenal), Thiago Motta (Bologna), Luis Enrique (PSG) dan Roberto de Zerbi (Brighton).
Difahamkan, syarat Barcelona kepada Xavi kali ini adalah untuk pecat adik kandungnya, Oscar Hernandez selaku penolong pengurus pasukan dan melantik Domenec Torrent yang kini pembantu jurulatih kepada Pep Guardiola di Manchester City. – AGENSI