fbpx

Tragedi helikopter TLDM: Sultan Sharafuddin berkenan hadir majlis memperingati mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keberangkatan Sultan Sharafuddin ke Majlis bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat Sempena Sambutan Hari TLDM ke-90, di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut. Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

LUMUT – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini berkenan hadir ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas sempena sambutan Hari TLDM Ke-90.

Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas yang dilaksanakan di Masjid An-Nur TLDM itu juga diadakan bagi memperingati tragedi nahas Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan Fennec yang mengorbankan 10 kru, Selasa lalu.

Majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 warga TLDM itu bermula dengan ketibaan Sultan Sharafuddin selaku Kapten Yang Dipertua TLDM di Masjid An-Nur pada pukul 12.15 tengah hari.

Selepas itu, majlis bacaan yasin dan tahlil diadakan diketuai oleh Pengarah Agama Markas Tentera Laut, Leftenan Kolonel Ahmad Kamil Abdullah disusuli dengan solat Jumaat.

Khutbah Khas bertajuk ‘TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara’ kemudian disampaikan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Dalam pada itu, ketika membacakan khutbahnya, Abdul Rahman memberitahu tragedi dua helikopter terhempas itu ternyata memberi kesan yang sangat mendalam dan merupakan satu kehilangan besar kepada TLDM dan negara.

“Sedarlah, bahawa kamu (semua mangsa) telah menggadaikan nyawa demi ibu pertiwi dan tanah air yang tercinta ini. Hanya doa sahaja yang mampu kami titipkan agar rohmu sentiasa dirahmati Allah,” jelas beliau.

Jelasnya, kematian mereka adalah satu pemergian yang dicemburui kerana keberanian jiwa semua mangsa sanggup berkorban demi pasukan dan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI