SEGAMAT – “Maaf Tuan Amir, saya tidak sempat tunaikan hajat Tuan…”
Itulah ayat yang terlintas difikiran rakan setugas Komander Mohamad Amir Mohamad, 44, yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) pada Selasa lalu.
Menurut Leftenan Komander Ts. Chan Jun Shen, 35, Pegawai Memerintah Skuadron 502 itu pernah menyatakan hasrat memintanya menjadi Pegawai Kejuruteraan Udara (Air Engineering Officer).
“Saya bekerja dengannya sejak 2015 dan banyak operasi serta tugasan kami buat bersama. Lepas saya masuk N10 Markas Udara, Tuan Amir ada dua kali panggil saya dan berkata, ‘Chan, aku nak kau jadi AEO aku. Aku perlukan otak kau.’,”
“Waktu itu saya hanya terdiam, tidak jawab apa-apa. Saya tidak sangka ia antara permintaan Komander Amir yang saya tidak dapat tunaikan sehingga hujung nyawanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambah Jun Shen, pada hari kejadian, dia tidak terlibat dalam raptai Hari TLDM berkenaan.
“Namun, kebetulan saya masuk ke pangkalan untuk menyelesaikan beberapa tugas yang tertangguh dan mesej kemalangan diterima ketika itu.
“Jadi saya sempat ke lokasi kejadian dan hanya dapat melihat barang-barang peribadi mangsa nahas yang masih berada di situ. Mangsa-mangsa nahas di dua lokasi telah dialihkan oleh anggota penyelamat.
“Hanya satu saja perkara yang bermain di fikiran saya sewaktu berada di tempat kejadian, ‘Maaf Tuan Amir, saya tidak sempat tunaikan hajat Tuan (menjadi AEO Komander Amir),” kongsinya sayu.
Ujar anak jati Alor Setar, Kedah itu lagi, dia berkongsi tarikh lahir yang sama dengan Komander Amir iaitu pada tanggal 28 Disember.
“Sejak Tuan Amir ada di Airwing, saya tidak pernah belanja orang makan masa hari lahir saya. Jimat duit saya (sambil ketawa kecil) kerana Tuan Amir sama tarikh lahir dengan saya. Jadi dia yang selalu belanja raikan hari lahir kami berdua.
“28 Disember tahun ini birthday boy, tinggal saya seorang sahaja. Kalau terserempak dengan Tuan Amir di ‘crew room’ (bilik kru) sewaktu makan tengah hari, pasti dia kata, ‘Hoi kedekut, makan ‘crew room’ ja hari-hari!’,”katanya.
Jun Shen mengakui akan merindui semua memori bergurau-senda, berkerja secara profesional bersama Allahyarham sewaktu bertugas bersama.
Jenazah Muhamad Amir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Bukit Kepong, Segamat, pada pukul 12.30 tengah malam, 25 April lalu.
Sebelum itu, Allahyarham dibawa ke rumahnya di Felcra Bukit Kepong, pada pukul 10.30 malam sebelum dibawa ke Masjid Al-Muqorobbin bagi urusan solat jenazah kali kedua pada pukul 11 malam. – KOSMO! ONLINE