fbpx

Taman Eko-Rimba Ulu Licin mudah diakses dengan WCE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Air Terjun Ulu Licin kini lebih mudah diakses pengunjung melalui WCE.

 

MANJUNG – Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang kini telah beroperasi menjadikan Taman Eko-Rimba Ulu Licin di Beruas, di sini, lebih mudah diakses orang ramai.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Issamudin Ibrahim berkata, menerusi Plaza Tol Beruas, pengunjung hanya perlu memandu sejauh 7.5 kilometer (km) untuk mengunjungi kawasan pelancongan tersebut.

“Jika dahulu mungkin perjalanan ke Ulu Licin sedikit sukar kerana perlu melalui jalan biasa, namun kini ia lebih mudah.

“Dari Plaza Tol Beruas itu, mereka cuma perlu memandu sekitar 7.5 km iaitu sekitar 14 minit untuk ke Ulu Licin,” kata­nya kepada Kosmo!.

Issamudin berkata, panorama menakjubkan menjadi faktor utama yang menarik kehadiran ramai pengunjung saban tahun.

Katanya, Air Terjun Ulu Licin yang terletak di dalam Hutan Simpan Kekal Bubu popular de­ngan air sungai berjeramnya yang jernih mengalir.

“Tidak ramai sedar, kawasan perkelahan yang terkenal dalam kalangan penduduk setempat ini sering kali menjadi tempat berlatih askar dan tentera termasuk pasukan komando bagi membiasakan diri dengan keadaan hutan tebal dan terasing.

“Antara aktiviti yang boleh dilakukan selain bermandi-manda dan beriadah ialah ‘jungle trekking’ yang mana telah disediakan trek mendaki, berkhemah dan berkelah,” katanya.

Issamudin berkata, terdapat juga kemudahan yang dinaik taraf seperti akses jalan raya berturap, tempat letak kenderaan yang luas, tandas dan surau untuk kegunaan pengunjung.

Katanya, ia selari dengan hasrat kerajaan negeri Perak menerusi agenda pelan Perak Sejahtera 2030 untuk memastikan industri pelancongan menjadi antara penyumbang kepada ekonomi setempat

“MPM juga telah menaik taraf Dataran Beruas dengan mewujudkan 16 buah kios penjaja yang seiring dengan pelan Perak Sejahtera 2030 dalam aspek Ekonomi Digital,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Baharu, Azman Noh pula percaya orang ramai terutamanya pengunjung dari luar negeri akan memberi tumpuan kepada Ulu Licin memandangkan WCE telah beroperasi.

“Kawasan itu mempunyai potensi untuk menjana pendapatan penduduk kerana pengunjung ke Ulu Licin pasti akan ke pekan Beruas dan kawasan sekitarnya, justeru membantu meningkatkan ekonomi warga tempatan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI