PETALING JAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menggesa pemilik stesen minyak yang diugut sindiket agar tampil membuat laporan kepada KPDN atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita telah selaraskan (subsidi diesel) kerana fokus penyasaran semula subsidi agar insiden sebegitu dapat dikurangkan di stesen minyak sekitar Semenanjung Malaysia. Bagi Sabah Sarawak buat masa ini, ia belum lagi dilaksanakan.
“Bagi saya, siasatan kes ini perlu dan saya sarankan semua pemilik stesen minyak buat laporan rasmi kepada KPDN serta jangan rahsiakan perkara itu (ugutan) kerana risau ancaman kepada mereka (pemilik) serta pekerja.
“Buatlah laporan kepada polis atau KPDN. Tujuan kita untuk mengekang, mendapatkan maklumat supaya meningkatkan penguat kuasaan serta tangkap membabitkan penyeludupan diesel yang semakin berleluasa sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 sempena Hari Intelek Negara (HHIN) di Menara MyIPO PJ Sentral, di sini hari ini.
“Ketirisan ini adalah sabotaj kepada kerajaan dalam memperjuangkan hak rakyat mengurangkan subsidi minyak jadi saya merayu kepada semua untuk beri kerjasama.
“Ada yang buat laporan dibuat kepada KPDN dan polis. Berdasarkan laporan tersebut, ada sebahagian sindiket di kawasan tertentu berjaya ditumpaskan.
“Selain ancaman kepada pemilik serta pekerja, ancaman paling besar adalah sindiket mengugut untuk membakar stesen minyak seterusnya merosakkan fasiliti,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, Armizan mendedahkan ramai pemilik stesen minyak diugut oleh sindiket sekiranya tidak membenarkan penjualan bahan api itu kepada kenderaan yang terlalu kerap mengisinya.
Menurutnya, laporan oleh mangsa tersebut dibuat melalui pelbagai kaedah termasuk menulis sendiri surat kepada kementerian dan PDRM.
Menyedari akan risiko penyelarasan semula subsidi diesel, beliau memohon orang awam membuat aduan di platform aduan sedia ada kerana kebersamaan semua pihak cukup penting kerana ia melibatkan kepentingan ramai. – KOSMO! ONLINE.